Matlamat jihad untuk menegaskan syariat Allah

Dato' Dr Mahfodz Mohamed
- Advertisement -

SESUNGGUHNYA tidak dinamakan sebagai jihad yang sebenar melainkan jika tujuannya adalah untuk mendapat keredaan Allah dan hendak meletakkan kalimah Allah di tempat yang tertinggi serta mengibarkan panji-panji kebenaran dan menolak kebatilan.

- Advertisement -

Oleh itu jika sekiranya tujuannya menyimpang dari yang tersebut di atas itu, seperti hendakkan habuan dunia maka ianya tidak dianggap sebagai jihad yang sebenar.

Sebagai contoh seperti seseorang yang berperang kerana hendakkan pangkat dan kedudukan atau untuk memperolehi harta rampasan atau untuk menunjukkan keberanian dan kemegahan, maka ianya tidak akan mendapat pahala dan ganjaran yang sepatutnya.

Diriwayatkan oleh Abu Musa al-Asy’ari bahawa seorang lelaki telah datang berjumpa Rasulullah SAW dan berkata (maksudnya): “Ada seorang yang berperang untuk mendapat ghanimah dan seorang yang berperang supaya diingati dan seorang yang berperang supaya dikenali sebagai seorang yang berani. Maka siapakah yang berjuang pada jalan Allah?”. Rasulullah SAW menjawab: “Siapa yang berperang supaya kalimah Allah berada di tempat yang tertinggi, maka dialah yang berjuang pada jalan Allah”.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud dan An-Nasa’i bahawa seorang bertanya kepada Rasulullah SAW (maksudnya): “Apakah pandangan tuan tentang seorang lelaki yang berperang untuk mendapat upah dan dapat gelaran, adakah baginya sesuatu?” Rasulullah SAW menjawab: “Tidak dapat sesuatu”. Diulang-ulang sampai tiga kali dan bersabda: “Tidak ada baginya sesuatu. Sesungguhnya Allah tidak akan menerima sesuatu amalan melainkan jika ia dilakukan dengan penuh keikhlasan serta mengharap keredaan Allah”.

Niat adalah roh bagi setiap amalan. Jika sesuatu amalan itu tanpa disertai niat maka amalan itu adalah amalan yang mati, tidak ada harganya di sisi Allah. Dengan niat ikhlas kerana Allah itulah yang menjadikan amalan itu ada nilainya. Daripada situlah maka dengan keikhlasan itu seorang itu naik darjatnya kepada mati syahid walaupun dia tidak mati syahid.

Sabda Rasulullah SAW yang brmaksud: “Barangsiapa yang meminta mati syahid dengan sungguh-sungguh, Allah akan menyampaikan dia kepada mati syahid walaupun dia mati di tempat tidurnya.”

Oleh yang demikian jika tidak ada keikhlasan dalam berjihad tetapi ada sebab lain yang mendorong kepada jihad seperti hendakkan habuan dan keuntungan dunia, seorang pejuang itu bukan sahaja diharamkan daripada mendapat pahala dan ganjaran bahkan dia akan mendapat azab di akhirat kelak.

Daripada Abu Hurairah r.a. berkata (maksudnya): “Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya orang yang pertama akan dibicarakan di hari kiamat ialah seorang yang didapati mati syahid. Allah mendatangi dan memperkenalkan dirinya. Lalu bertanya: “Apakah yang telah kamu lakukan di dalam peperangan itu?”. Dia menjawab; “Aku berperang pada jalanmu sehingga aku mati syahid”. Dijawabnya: “Kamu pembohong! Kamu berperang untuk dikenali sebagai seorang yang berani”. Kemudian ditarik mukanya hingga dicampakkan ke dalam api neraka. Dan seorang yang belajar ilmu dan yang mengajarkannya dan yang membaca al-Quran. Allah memperlihatkan nikmat yang telah diberikan kepadanya lalu bertanya: “Apakah yang kamu amalkan dengannya?”. Dia menjawab: “Aku belajar ilmu dan aku mengajarkannya kepada orang lain dan membaca al-Quran kerana Allah”. Dijawabnya: “Kamu telah berbohong! Kamu belajar supaya kamu digelar alim dan kamu membaca al Quran supaya kamu digelar qari”. Lalu ditarik mukanya hingga dihumbankan ke dalam api neraka.

Kesimpulannya walaupun jihad fi sabilillah ini sangat tinggi nilainya tetapi ianya tidak ada nilainya di sisi Allah jika tidak ada keikhlasan semata-mata kepada Allah. Sebab itu jika seorang pejuang itu ikhlas di samping dia memperolehi ghanimah maka pahalanya kerana berjihad itu berkurangan. Sabda Rasulullah SAW dari Abdullah bin Amru (maksudnya): “Tidak ada daripada mana-mana ketumbukan peperangan lalu ia mendapat ghanimah dan selamat melainkan mereka telah mendapat dua pertiga daripada pahala mereka”.

DATO’ DR MAHFODZ MOHAMED
Pengerusi Sidang As-Sabiqun PAS Pusat – HARAKAHDAILY 2/10/2023

- Advertisement -