Umat Islam sedang diratah

- Advertisement -

RASULULLAH SAW memberikan amaran dalam sabdanya:

- Advertisement -

“يُوشِكُ الْأُمَمُ أَنْ تَدَاعَى عَلَيْكُمْ كَمَا تَدَاعَى الْأَكَلَةُ إِلَى قَصْعَتِهَا.”

“Hampirlah berlakunya beberapa umat yang lain (bukan Islam) berkumpul mengepung kamu, laksana kumpulan yang mengelilingi hidangan dengan rakus atau gelojoh.”

فَقَالَ قَائِلٌ: وَمِنْ قِلَّةٍ نَحْنُ يَوْمَئِذٍ؟ قَالَ: “بَلْ أَنْتُمْ يَوْمَئِذٍ كَثِيرٌ، وَلَكِنَّكُمْ غُثَاءٌ كَغُثَاءِ السَّيْلِ، وَلَيَنْزَعَنَّ اللَّهُ مِنْ صُدُورِ عَدُوِّكُمُ الْمَهَابَةَ مِنْكُمْ، وَلَيَقْذِفَنَّ اللَّهُ فِي قُلُوبِكُمُ الْوَهْنَ.”

Maka, seseorang dalam kalangan sahabat bertanya, “Adakah jumlah kita (umat Islam) pada masa itu sedikit?” Baginda bersabda, “Bahkan, ketika itu kalian sangat ramai, tetapi kalian laksana sampah sarap yang dihanyutkan oleh air banjir. Allah menghilangkan rasa hebat terhadap kalian daripada perasaan dalam dada musuh kalian dan Allah mencampakkan dalam jantung hati kalian perasaan al-wahn (hina).”

فَقَالَ قَائِلٌ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، وَمَا الْوَهْنُ؟ قَالَ: “‌حُبُّ ‌الدُّنْيَا، ‌وَكَرَاهِيَةُ ‌الْمَوْتِ.”

Lalu seseorang dalam kalangan sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah, apakah maksud al-wahn (hina) itu?” Baginda menjawab, “Kasih akan dunia dan takut akan mati.” [Abu Dawud, Sunan Abi Dawud, Kitab al-Malahim, No. 4297, daripada Thawban bin Bujdud]

Hadis ini termasuk daripada salah satu hadis yang menyatakan perkara ghaib yang diberitahu oleh Allah SWT kepada Rasul-Nya SAW, iaitu bencana menimpa umat Islam yang akan berlaku pada masa akan datang selepas kewafatan Baginda, yang juga menjadi tanda kerasulannya yang datang daripada Allah.

Firman Allah SWT:

﴿… يَعۡلَمُ مَا بَيۡنَ أَيۡدِيهِمۡ وَمَا خَلۡفَهُمۡۖ وَلَا يُحِيطُونَ بِشَيۡءٖ مِّنۡ عِلۡمِهِۦٓ إِلَّا بِمَا شَآءَۚ … ٢٥٥﴾

“…Allah mengetahui apa-apa yang di hadapan mereka dan di belakang mereka, dan mereka tidak mengetahui apa-apa daripada ilmu Allah melainkan apa-apa yang dikehendaki-Nya…” [Surah al-Baqarah: 255]

Firman Allah SWT:

﴿عَٰلِمُ ٱلۡغَيۡبِ فَلَا يُظۡهِرُ عَلَىٰ غَيۡبِهِۦٓ أَحَدًا ٢٦ إِلَّا مَنِ ٱرۡتَضَىٰ مِن رَّسُولٖ فَإِنَّهُۥ يَسۡلُكُ مِنۢ بَيۡنِ يَدَيۡهِ وَمِنۡ خَلۡفِهِۦ رَصَدٗا ٢٧﴾

“(Dia ialah Tuhan) yang Mengetahui yang ghaib, maka Dia tidak memperlihatkan kepada seseorang pun tentang yang ghaib itu. (26) Kecuali kepada rasul yang diredai-Nya. Maka, sesungguhnya, Dia mengadakan penjaga-penjaga (malaikat) di muka dan di belakangnya. (27)” [Surah al-Jinn: 26–27]

Firman Allah SWT:

﴿وَمَا يَنطِقُ عَنِ ٱلۡهَوَىٰٓ ٣ إِنۡ هُوَ إِلَّا وَحۡيٞ يُوحَىٰ ٤﴾

“Dan tiadalah yang diucapkannya itu menurut kemahuan hawa nafsunya. (3) Ucapannya itu tiada lain hanyalah wahyu yang diwahyukan (kepadanya). (4)” [Surah al-Najm: 3–4]

Perkara yang diwahyukan itu bukan sahaja yang disebutkan dalam al-Quran, malah termasuk juga daripada hadis atau sabda Rasulullah SAW.

Hadis yang disebutkan di atas ialah amaran bencana yang akan menimpa umat Islam pada akhir zaman. Perkara itu dapat disaksikan kebenarannya apabila umat Islam dijajah dan diratah serta menjadi tumpuan kerakusan oleh musuh-musuh yang ramai mengepung dari segenap penjuru sama ada dalam aspek, agama, politik, ekonomi, pendidikan, pelajaran, mahupun sosial. Termasuk yang diratah itu ialah tanah air, bangsa yang menganut Islam, dan seluruh umat manusia.

Hasil kelemahan yang dialami oleh umat Islam akibat perkara tersebut (al-wahn) khususnya terhadap para pemimpin sehinggalah rakyat, iaitu disebabkan terlalu sayang akan dunia sehingga berebut harta, pangkat, dan takhta. Keadaan ini menyebabkan berlaku perpecahan dan peperangan saudara yang mengorbankan rakyat jelata sehingga umat Islam menjadi lemah selemah-lemahnya dan gagal menyelesaikan masalah kerana leka meninggalkan ajaran Islam.

Firman Allah SWT:

﴿وَأَطِيعُواْ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥ وَلَا تَنَٰزَعُواْ فَتَفۡشَلُواْ وَتَذۡهَبَ رِيحُكُمۡۖ وَٱصۡبِرُوٓاْۚ إِنَّ ٱللَّهَ مَعَ ٱلصَّـٰبِرِينَ ٤٦﴾

“Dan taatilah kepada Allah dan Rasul-Nya serta janganlah kamu saling berbantah-bantahan, yang menyebabkan kamu menjadi kecewa gagal dan hilang kekuatanmu. Dan bersabarlah! Sesungguhnya, Allah berserta orang-orang yang sabar.” [Surah al-Anfal: 46]

Akibat penyakit takut akan mati ialah meninggalkan jihad mempertahankan Islam, umat, dan tanah airnya dengan harta dan jiwa raga, di samping bergelumang dengan dosa dan maksiat yang banyak sehingga menjadi pengecut. Malah ada yang menyerah diri kepada penjajah dengan bersedia menjadi abdi atau khadam mereka.

Firman Allah SWT:

﴿يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ مَا لَكُمۡ إِذَا قِيلَ لَكُمُ ٱنفِرُواْ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ ٱثَّاقَلۡتُمۡ إِلَى ٱلۡأَرۡضِۚ أَرَضِيتُم بِٱلۡحَيَوٰةِ ٱلدُّنۡيَا مِنَ ٱلۡأٓخِرَةِۚ فَمَا مَتَٰعُ ٱلۡحَيَوٰةِ ٱلدُّنۡيَا فِي ٱلۡأٓخِرَةِ إِلَّا قَلِيلٌ ٣٨ إِلَّا تَنفِرُواْ يُعَذِّبۡكُمۡ عَذَابًا أَلِيمٗا وَيَسۡتَبۡدِلۡ قَوۡمًا غَيۡرَكُمۡ وَلَا تَضُرُّوهُ شَيۡـٔٗاۗ وَٱللَّهُ عَلَىٰ كُلِّ شَيۡءٖ قَدِيرٌ ٣٩﴾

“Wahai orang-orang yang beriman, apakah sebabnya apabila dikatakan kepada kamu, ‘Berangkatlah (untuk berjuang) di jalan Allah,’ kamu merasa berat dan ingin tinggal di tempatmu? Apakah kamu puas dengan kehidupan di dunia sebagai ganti kehidupan di akhirat? Padahal keni‘matan hidup di dunia ini (dibandingkan dengan kehidupan) di akhirat hanyalah sedikit. (38) Jika kamu tidak berangkat untuk berjuang, nescaya Allah menyeksa kamu dengan seksa yang pedih dan mengganti (kamu) dengan kaum yang lain, dan kamu tidak akan dapat memberikan kemudaratan kepada-Nya sedikit pun. Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu. (39)” [Surah al-Tawbah: 38–39]

Firman Allah SWT:

﴿هَـٰٓأَنتُمْ هَـٰٓؤُلَآءِ تُدۡعَوۡنَ لِتُنفِقُواْ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ فَمِنكُم مَّن يَبۡخَلُۖ وَمَن يَبۡخَلۡ فَإِنَّمَا يَبۡخَلُ عَن نَّفۡسِهِۦۚ وَٱللَّهُ ٱلۡغَنِيُّ وَأَنتُمُ ٱلۡفُقَرَآءُۚ وَإِن تَتَوَلَّوۡاْ يَسۡتَبۡدِلۡ قَوۡمًا غَيۡرَكُمۡ ثُمَّ لَا يَكُونُوٓاْ أَمۡثَٰلَكُم ٣٨﴾

“Ingatlah, kamu ini orang-orang yang diajak untuk menafkahkan (hartamu) di jalan Allah, maka antara kamu ada yang bakhil. Dan sesiapa yang bakhil, sesungguhnya dia hanyalah bakhil terhadap dirinya sendiri. Dan Allah jua yang Maha Kaya, sedangkan kamulah orang-orang yang berkehendak (kepada-Nya). Dan jika kamu berpaling, nescaya Dia akan mengganti (kamu) dengan kaum yang lain; dan mereka tidak akan seperti kamu ini.” [Surah Muhammad: 38]

Akibat penyakit tersebut, tanah air Islam dan umatnya dijajah dan diperintah. Diri dan bangsa umat Islam diabdikan dan dipergunakan oleh musuh, harta negara mereka dirompak, serta hasil bumi mereka dirampas dan dicuri. Lebih malang lagi, apabila pemikiran umat Islam disesatkan, sehingga mereka hilang maruah dan jati diri serta hilangnya kecintaan kepada agama, bangsa, dan tanah air mereka.

Tanah air dan bangsa yang menganut Islam dibahagi-bahagikan dalam kalangan penjajah yang datang.

Di Asia Tenggara, Malaysia dan Brunei dijadikan di bawah jajahan British, Indonesia di bawah Belanda, Filipina di bawah Sepanyol, dan Campa di bawah Perancis.

Di Asia Barat, Mesir, Sudan, Yaman Selatan, Nigeria, dan Negara Teluk di bawah jajahan British, Libya di bawah Itali, manakala Syria, Afrika Utara, dan beberapa negara Afrika yang lain di bawah Perancis.

Di Asia Tengah pula, tanah air Islam diletakkan di bawah jajahan Komunis Soviet dan China, seterusnya negara-negara lain di bawah penjajah masing-masing.

Umat Islam dipecah-pecahkan mengikut sempadan negeri, bangsa, dan mazhab.

Namun, di sana masih ada kumpulan umat yang tidak menyerah kalah. Mereka menentang penjajah dengan gagah berani tanpa berundur walaupun tidak ada persediaan dan persenjataan yang sama seperti musuh.

Mereka bergantung dengan keimanan kepada Allah dan kebenaran Islam yang diyakini, sehingga tidak boleh menyerah kalah dalam menghadapi musuh yang zalim menceroboh. Penjajah tersebut gagal memadamkan kebangkitan dalam kalangan umat Islam yang menentang mereka.

Mendiang William Ewart Gladstone, mantan Perdana Menteri British pernah berucap sambil memegang kitab suci al-Quran dengan menegaskan, “Bahawa selagi ada buku ini (al-Quran) dalam simpanan penganut Islam, mereka tidak akan menyerah kalah.”

Musuh Islam tetap gagal walaupun menggunakan kekerasan dan keganasan, menawan dan menahan para pemimpin di dalam penjara, membuang negeri, sehinggalah membunuh dan menyerang dengan senjata yang paling ganas.

Kumpulan Islam yang menentang penjajah gagal dikalahkan dengan senjata paling canggih. Penjajah pula yang terpaksa berundur dan menukar pendekatan dengan menuduh para pejuang sebagai ganas, lanun, pelampau, dan lain-lain, manakala Islam dan penganutnya difitnahkan melalui segala media, alat, dan bahasa.

Kini, Islamofobia pula diperkenalkan, menyebabkan ramai yang ingin mengetahui berkenaan Islam secara ilmu. Seterusnya, menyebabkan pengaruh Islam menembusi sempadan negara bukan Islam yang paling bermusuh.

Musuh Islam beralih kepada pendekatan serangan pemikiran di tengah-tengah kejahilan umat Islam yang dikawal pengajian mereka dengan sekatan undang-undang yang dicipta. Mereka mewujudkan sistem pelajaran dan pendidikan alternatif yang melumpuhkan kefahaman dan membawa kesesatan melalui segala jenis media.

Pendekatan serangan pemikiran supaya penganut Islam meninggalkan dan menukar agama mereka tidak banyak kesannya. Lalu musuh Islam menukar pendekatannya kepada penyebaran kefahaman yang meragukan atau kefahaman yang salah terhadap ajaran Islam secara sistematik.

Fahaman sekularisme yang telah merosakkan agama Kristian digunakan dengan berkesan, melalui peluang kejahilan kebanyakan umat Islam yang hanya mengetahui fardu ain berkenaan ibadat khusus dan hukum kekeluargaan sahaja.

Pihak penjajah Barat yang memperjuangkan kebebasan menjadikan alasan kebebasan beragama mengikut konsep sekularisme. Maka, urusan agama, ibadat, dan kekeluargaan sahaja yang dibiarkan di negeri-negeri jajahan takluk mereka, tetapi semua urusan yang lain di bawah urusan pentadbiran mereka.

Maka, aliran sekularisme diterapkan ke dalam masyarakat Islam. Diikuti oleh Mustafa Kamal Ataturk yang memerintah Turkiye setelah menjatuhkan Kerajaan Turki ‘Uthmaniyyah dengan sokongan kuasa-kuasa besar penjajah bagi menegakkan negara sekular sepenuhnya.

Ada pula kalangan agamawan upahan atau tiruan digunakan bagi menyebarkan sekularisme Islam yang menyesatkan, antaranya ialah Syeikh ‘Ali ‘Abd al-Raziq, seorang alim lulusan Universiti al-Azhar yang menulis kitab bernama al-Islam wa Usul al-Hukm (Islam dan Dasar-dasar Hukum). Bukunya telah diterjemahkan kepada beberapa bahasa.

Disebabkan buku itu, pihak al-Azhar telah melucutkan jawatannya di bawah al-Azhar. Selain beliau, beberapa orang ulama’ lain turut mengikuti jejak langkah dengan bersedia menjadi alat kepada musuh-musuh Islam. Mereka berada di pentas untuk memperjuangkan berbagai-bagai ideologi moden yang diimport ke dalam masyarakat Islam.

Menurut Syeikh Mustafa Sabri (Mufti Kerajaan Turki ‘Uthmaniyyah yang terakhir) dalam karyanya Mawqif al-‘Aql wa al-‘Ilm wa al-‘Alam, bahawa sekularisme ialah jalan pintas paling dekat bagi menuju ke arah murtad (penyelewengan) daripada ajaran Islam, sama ada disedari ataupun tanpa disedari.

Apabila penjajah terpaksa berundur memberikan kemerdekaan, mereka bersedia menyerahkan negara kepada kumpulan yang menganut ideologi mereka atau apa-apa sahaja ideologi yang lain, tetapi jangan sekali-kali kepada kumpulan Islam yang asal memperjuangkan kemerdekaan.

Hal ini demikian supaya negara umat Islam yang ditubuhkan terus bergantung dan berkiblatkan politik, ekonomi, dan segala urusan kepada bekas penjajahnya. Mereka menghalang penubuhan semula negara Islam yang sebenar kerana mengembalikan semula keperkasaan umat Islam dianggap sebagai ancaman kepada mereka.

Firman Allah SWT:

﴿… وَلَا يَزَالُونَ يُقَٰتِلُونَكُمۡ حَتَّىٰ يَرُدُّوكُمۡ عَن دِينِكُمۡ إِنِ ٱسۡتَطَٰعُواْۚ وَمَن يَرۡتَدِدۡ مِنكُمۡ عَن دِينِهِۦ فَيَمُتۡ وَهُوَ كَافِرٞ فَأُوْلَـٰٓئِكَ حَبِطَتۡ أَعۡمَٰلُهُمۡ فِي ٱلدُّنۡيَا وَٱلۡأٓخِرَةِۖ وَأُوْلَـٰٓئِكَ أَصۡحَٰبُ ٱلنَّارِۖ هُمۡ فِيهَا خَٰلِدُونَ ٢١٧ إِنَّ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَٱلَّذِينَ هَاجَرُواْ وَجَٰهَدُواْ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ أُوْلَـٰٓئِكَ يَرۡجُونَ رَحۡمَتَ ٱللَّهِۚ وَٱللَّهُ غَفُورٞ رَّحِيمٞ ٢١٨﴾

“…Mereka tidak henti-hentinya memerangi kamu sampai mereka (dapat) memesongkan kamu daripada agama kamu (kepada kekafiran), seandainya mereka mampu. Sesiapa yang murtad antara kamu daripada agamanya, lalu dia mati dalam kekafiran, maka mereka itulah yang sia-sia amalan mereka di dunia dan di akhirat, dan mereka itulah penghuni Neraka, mereka kekal di dalamnya. (217) Sesungguhnya, orang-orang yang beriman serta orang-orang yang berhijrah dan berjihad di jalan Allah, mereka itu mengharapkan rahmat Allah, dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. (218)” [Surah al-Baqarah: 217–218]

Kini, mereka menggunakan umat Islam yang berpecah kerana kejahilan agama yang masih berlaku. Wujudnya kumpulan tasahul (longgar pegangan agama) sehingga membawa fahaman liberal yang hanyut dan kumpulan tasyaddud (pelampau) yang tidak bertafaqquh (faham) akan cara pelaksanaan yang sebenar sehingga melampau dalam urusan agama.

Keadaan ini sekali gus menyebabkan pertembungan dalam satu umat yang mencetuskan perselisihan dan perang saudara. Bahkan, menjadi proksi peperangan yang sengaja dicetuskan di dalam negara umat Islam, yang berbeza dengan peperangan menentang penceroboh yang menjajah.

Rasulullah SAW juga pernah memberikan amaran dengan sabdanya:

‌لَا ‌تَرْجِعُوا ‌بَعْدِي ‌كُفَّارًا، يَضْرِبُ بَعْضُكُمْ رِقَابَ بَعْضٍ.

“Janganlah kamu kembali menyeleweng kepada kekufuran (jahiliah) selepas aku (wafat).” [Muttafaq ‘Alayh: Al-Bukhari, Sahih al-Bukhari, Kitab al-‘Ilm, No. 121, dan Muslim, Sahih Muslim, Kitab al-Iman, No. 65, daripada Jarir bin ‘Abdillah]

Kita dapat menyaksikan kewujudan parti-parti politik yang menjadi proksi kepada negara penjajah bagi mendapat kuasa dengan bantuan mereka secara terbuka dan tersembunyi.

Almarhum Hamka menyebut dalam Tafsir al-Azhar yang mentafsirkan firman Allah SWT:

﴿إِنَّ ٱلَّذِينَ فَرَّقُواْ دِينَهُمۡ وَكَانُواْ شِيَعٗا لَّسۡتَ مِنۡهُمۡ فِي شَيۡءٍۚ إِنَّمَآ أَمۡرُهُمۡ إِلَى ٱللَّهِ ثُمَّ يُنَبِّئُهُم بِمَا كَانُواْ يَفۡعَلُونَ ١٥٩﴾

“Sesungguhnya, orang-orang yang memecahbelahkan agama mereka dan mereka menjadi bergolongan, tidak ada sedikit pun tanggungjawabmu kepada mereka. Sesungguhnya, urusan mereka hanyalah terserah kepada Allah, kemudian Allah akan memberitahu mereka apa-apa yang telah mereka perbuat.” [Surah al-An‘am: 159]

Oleh kerana semua itu berlaku disebabkan kejahilan agama, maka perjuangan mengatasi kejahilan agama hendaklah diutamakan dengan gigih dan sabar. Khususnya, perjuangan terhadap kumpulan jahil murakab yang tidak sedar diri mereka itu jahil, sebaliknya merasakan diri mereka sangat bijak.

Disebut dalam syair bahasa Arab:

‌قَالَ ‌حِمَارُ ‌الحَكِيمِ ‌تُومَا … ‌لَوْ ‌أَنْصَفَ ‌الدَّهْرُ ‌كُنْتُ ‌أَرْكَبْ.

“Berkatalah keldai yang bijak bernama Toma; kalaulah masa sedar dan insaf bahawa aku sedang ditunggang.”

فَأَنَا جَاهِلٌ بَسِيطٌ … وَرَاكِبِي جَاهِلٌ مُرَكَّبْ.

“Padahal aku ini jahil sedikit, adapun yang menunggang aku jahil murakab (yang tidak tahu dirinya jahil).”

Pelajarilah dan tanyalah orang yang tahu dan benar-benar beramanah dengan ilmunya sebelum mengikuti sesuatu ajaran atau aliran.

Firman Allah SWT:

﴿وَلَا تَقۡفُ مَا لَيۡسَ لَكَ بِهِۦ عِلۡمٌۚ إِنَّ ٱلسَّمۡعَ وَٱلۡبَصَرَ وَٱلۡفُؤَادَ كُلُّ أُوْلَـٰٓئِكَ كَانَ عَنۡهُ مَسۡـُٔولٗا ٣٦﴾

“Dan janganlah kamu mengikuti apa-apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya, pendengaran, penglihatan, dan hati; semuanya itu akan diminta pertanggungjawaban.” [Surah al-Isra’: 36]

Islam terus dianggap menjadi ancaman walaupun tiada negara besar yang melindunginya. Cahaya kebenaran Islam yang datang daripada Allah tidak boleh dipadamkan mengikut janji Allah SWT:

﴿يُرِيدُونَ لِيُطۡفِـُٔواْ نُورَ ٱللَّهِ بِأَفۡوَٰهِهِمۡ وَٱللَّهُ مُتِمُّ نُورِهِۦ وَلَوۡ كَرِهَ ٱلۡكَٰفِرُونَ ٨﴾

“Mereka ingin memadamkan cahaya Allah dengan mulut (tipu daya) mereka, tetapi Allah (justeru) menyempurnakan cahaya-Nya, walau orang-orang kafir membencinya.” [Surah al-Saff: 8]

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 14 Rabi‘ al-Awwal 1445 / 30 September 2023 – HARAKAHDAILY 30/9/2023

- Advertisement -