Paling penting ikut perjuangan, pemerintahan Nabi SAW

Ustaz Mohd Asri Mat Daud
- Advertisement -

KOTA BHARU: Kecintaan kepada Nabi Muhammad SAW bukan hanya diterjemahkan melalui kehidupan harian baginda sahaja termasuk cara berpakaian, pemakanan dan sebagainya.

- Advertisement -

Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta, Ustaz Mohd Asri Mat Daud berkata, namun paling penting ialah mengikuti perjuangan serta pemerintahan.

Beliau berkata, sejarah telah membuktikan baginda sanggup berkorban meninggalkan harta dan tanah air untuk mendirikan sebuah kerajaan Islam pertama di Madinah.

“Dalam konteks berkerajaan, kecintaan terhadap baginda atas usaha pembentukan dasar selari dengan Islam. Ia juga perlu dijelmakan dalam bentuk yang lebih baik berkait urustadbir.

“Kasih dan cinta kita kepada Rasulullah sempurna apabila kita mencapai tahap melaksanakan segala sunnahnya dalam kehidupan walaupun terpaksa berkorban diri dan harta,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan sempena Sambutan Hubbu Nabi 1445 peringkat Kelantan yang diadakan di Madrasah Diniah Bakriah Pasir Tumboh di sini hari ini.

Majlis itu disempurnakan oleh Menteri Besar, Dato’ Panglima Perang, Ustaz Mohd Nassuruddin Daud yang turut dihadiri oleh Penasihat Undang-Undang Negeri, Dato’ Idham Abdul Ghani.

Mohd Asri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Demit berkata, itulah yang diterapkan oleh kerajaan negeri sejak mula mengambil alih pemerintahan Kelantan sejak 1990.

Beliau berkata, penerapan elemen agama dalam pemerintahan kerajaan negeri amat diutamakan dengan menjadikan pemerintahan Rasulullah SAW di Madinah sebagai teladan.

Malah usaha itu katanya pemerintahan kerajaan negeri berjaya mengekalkan ketelusan dan mengamalkan integrasi yang tinggi walaupun berhadapan dengan pelbagai cabaran.

“Kerajaan negeri yang bersih rasuah misalnya bukan sekadar budaya baik yang perlu dibanggakan tetapi adalah suatu ketetapan hukum dalam Islam yang wajib dipatuhi.

“Kita boleh mengejar kemajuan untuk pembangunan negara dan negeri demi rakyat tetapi sama sekali tidak boleh menggadaikan soal prinsip dan konsep keadilan serta kebajikan,” katanya. – HARAKAHDAILY 28/9/2023

- Advertisement -