Ustaz Azhar dapat tauliah mengajar daripada MAIDAM

Ustaz Azhar Idrus
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Penceramah terkenal, Ustaz Azhar Idrus disahkan telah menerima tauliah mengajar daripada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM).

- Advertisement -

Tauliah yang dikurniakan oleh MAIDAM itu sah untuk tempoh lima tahun bermula 1 Julai 2023 sehingga 30 Jun 2028 untuk menyampaikan kuliah agama secara berkitab serta ceramah umum.

Pada Mei lalu, Ustaz Azhar Idrus merupakan antara 10 penceramah agama yang menghadiri temu duga untuk mendapatkan tauliah bagi menyampaikan ceramah dan kuliah agama di masjid serta surau di negeri ini.

Proses temu duga itu telah dibuat oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) diketuai Mufti Terengganu, Dr Mohamad Sabri Harun.

Ustaz Azhar pernah menerima Anugerah Tokoh Media Bepengaruh dalam Majlis Apresiasi Media Terengganu yang dianjurkan kerajaan negeri pada tahun lalu.

Anak jati Kampung Ladang itu yang dikenali sebagai ‘daie sejuta umat’ itu selama ini sangat aktif dalam menyampaikan kuliah juga sering terlibat dalam program keagamaan yang dianjurkan oleh kerajaan negeri antaranya ialah ‘Himpunan Bicara Murabbi Ummah’, ‘Karnival Penghayatan Islam’, ‘Daie Nusantara’ dan sebagainya.

Setiap kali diadakan program bersamanya pasti akan mengundang ribuan rakyat Terengganu yang hadir dan sentiasa mencuit hati apabila sering kali tampil bergandingan dengan Pengarah Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS), Kamaruzaman Abdullah.

Pada Ogos yang lalu, Ustaz Azhar Idrus juga telah tampil dalam ‘Program Murabbi Nok Jupe: Chat With Me 3.0′ di Dataran Jambatan Angkat bersama Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang. – TRDI.my

- Advertisement -