KOTA BHARU: Lajnah Dakwah PAS Pusat sedia bekerjasama dengan mana-mana pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO) di seluruh negara untuk memperkasakan aktiviti dakwah.
Pengerusinya, Ustaz Nasrudin Hassan berkata, situasi politik yang berlaku sekarang memungkinkan kolaborasi tersebut supaya benteng kefahaman Islam tidak terhakis.
Menurut beliau, Malaysia mempunyai pelbagai NGO yang komited melaksanakan kerja-kerja dakwah dan kebajikan.
“Kita membuka peluang untuk bekerjasama dengan NGO dakwah di seluruh negara. Sepanjang bulan dakwah sempena bulan Rabiulawal kalau ada NGO yang mahu kerjasama dialu-alukan.
“Kita atur aktiviti bersama kerana negara kita terlalu banyak program melalaikan serta situasi tersebut tidak membantu masyarakat mengamalkan nilai agama Islam,” katanya.
Nasrudin juga berkata, pihaknya terpanggil untuk membantu masyarakat menyemarakkan lagi aktiviti dakwah Islam dengan menerima serta mengemukakan pelbagai idea dan cadangan.
Kata beliau masyarakat perlu dibantu untuk mengamalkan ajaran Islam dengan sempurna ketika pelbagai agenda dilakukan musuh untuk menghakis pegangan agama orang Islam.
“Kami rasa terpanggil untuk membantu masyarakat supaya dapat menyemarakkan kerja amal Islam.
“Jangan biarkan kami keseorangan dalam menyahut cabaran ini, jadi kalau ada sahabat ada idea dan pandangan menarik boleh maklumkan kepada kita,” katanya. – HARAKAHDAILY 28/9/2023
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!