Hujan lebat punca banjir landa 3 kampung

- Advertisement -

BALING: Seramai 33 keluarga penduduk dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) ekoran banjir mendadak yang berlaku di beberapa kampung di sini, malam tadi.

- Advertisement -

Mangsa berkenaan melibatkan hampir 100 orang di tiga kampung iaitu Kampung Tawar, Kampung Padang Setul dan Kampung Binjul Luar.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Ketil, Mansor Zakaria berkata, kawasan berkenaan sering berlaku banjir, namun kali ini kejadiannya agak mendadak berlaku.

“Hujan turun agak lebat bermula awal malam sehingga pagi semalam (21 September) kemudian berlarutan hingga ke Maghrib.

“Tetapi Alhamdulillah tiada kemalangan jiwa yang berlaku,” ujar beliau ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu Masjid Kampung Tawar dan Masjid Kampung Binjul Luar dijadikan PPS untuk menempatkan mangsa banjir.

Mansor yang juga anggota Exco kerajaan negeri turut turun ke kampung-kampung terlibat dan bertemu mangsa banjir di PPS terbabit.

“Proses pemindahan berlaku seawal jam 12 tengah malam dan berakhir jam 3 pagi. Dan sekarang kesemua mangsa telah pulang ke rumah masing-masing,” kata beliau lagi.

Dalam pada itu, beliau mengucapkan penghargaan kepada semua pihak termasuk anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pertahanan Awam (APAM), Rela, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan pasukan Bomba dan Penyelamat yang membantu mangsa banjir.

“Penghargaan juga kepada Majlis Ketua Kampung (MKK), Jabatan Amal, pengurusan masjid, sukarelawan dan penduduk kampung yang membantu memindahkan mangsa banjir,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 22/9/2023

- Advertisement -