Ahli Parlimen Temerloh lapor polis difitnah di media sosial

TEMERLOH: Ahli Parlimen Temerloh Salamiah Mohd Nor membuat laporan polis terhadap individu yang memuat posting berunsur jahat dan fitnah ke atas dirinya di Ibu Pejabat Polis Daerah Temerloh.

Advertisement

Laporan itu dibuat petang semalam selepas genap sahaja 24 jam tempoh yang diberi terhadap individu yang dikenali sebagai Omar Tuah II ekoran posting fitnah belum dipadam.

Katanya atas nasihat peguam beliau membuat laporan polis terhadap individu terbabit.

“Saya juga telah selesai memberi keterangan kepada pasukan penyiasat polis dan saya serahkan sepenuhnya kepada pihak PDRM dan SKMM untuk siasatan dan tindakan lanjut,” katanya pada kenyataan.

Sebelum ini individu yang dikenali Omar Tuah II pada posting di laman sosialnya antara lain menyebut ada muslimat Temerloh bersungguh cuba menghalau ibunya daripada mengajar di masjid dan surau atas tuduhan dia menyertai Amanah.

Salamiah yang juga Ketua Muslimat Pahang berkata, beliau turut mencabar dan memprovok supaya segera mengambil tindakan undang-undang terhadap dirinya.

“Pagi ini saya dimaklumkan individu terbabit telah menurunkan posting tersebut daripada laman sosial Facebook beliau.

“Maka, saya dengan ini memberikan tempoh 3 hari kepada pentadbir media sosial atas nama Omar Tuah II untuk membuat pengakuan dan permohonan maaf secara terbuka di semua platform media sosialnya atas fitnah jahat. Jika tidak tindakan saman akan menyusul.

“Saya bukanlah individu yang suka berbicara soal remeh temeh sebegini. Terlalu banyak kerja dan permasalahan rakyat yang perlu saya selesaikan. Namun, fitnah jahat sebegini tidak ada ruang untuk toleransi. Ia akan membarah kepada institusi politik dan masyarakat jika tiada satu tindakan tegas diambil,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 22/9/2023