Gunung berapi Taal meletus, Manila berjaga-jaga

- Advertisement -

MANILA: Sebuah gunung berapi kecil, tetapi bergolak berhampiran ibu negara Filipina, Manila memuntahkan sulfur dioksida dan asap gunung berapi hari ini menyebabkan pihak berkuasa menutup sekolah di lima bandar dan berpuluh-puluh pekan serta menggesa orang ramai tinggal dalam rumah.

Institut gunung berapi dan seismologi negeri sedang mengawasi peningkatan cecair gunung berapi panas di tasik kawah gunung berapi Taal yang menyebabkan pelepasan gas gunung berapi.

- Advertisement -

Amaran itu adalah pada tahap satu dengan tahap paling bahaya adalah lima, menandakan peningkatan sedikit dalam gempa bumi gunung berapi, dan aktiviti wap atau gas.

Terletak di sebuah tasik yang indah di wilayah Batangas berhampiran Manila, Taal setinggi 311 meter adalah antara yang paling aktif daripada 24 gunung berapi di Filipina.

Pada Januari 2020, gunung itu memuntahkan debu dan wap setinggi 15 kilometer, memaksa lebih 100,000 orang berpindah dan berpuluh-puluh pembatalan penerbangan apabila debu jatuh sejauh Manila.

“Kami menerima laporan mengenai penyakit pernafasan di wilayah Batangas akibat asap gunung berapi,” Ketua Operasi Pejabat Pertahanan Awam selatan Manila, Randy Dela Paz, memberitahu Radio DWPM.

Asap gunung berapi yang mengandungi titisan halus gas gunung berapi seperti sulfur boleh menyebabkan kerengsaan mata, tekak dan saluran pernafasan.

Pihak berkuasa menggantung kelas sekolah hari ini di berpuluh-puluh bandar dan wilayah Cavite, Laguna, dan Batangas bersebelahan gunung berapi Taal dan di lima bandar di wilayah ibu kota.

Pihak berkuasa penerbangan pula memberitahu juruterbang supaya mengelakkan terbang menghampiri puncak gunung berapi itu kerana debu bawaan udara dan serpihan daripada letupan mengejut boleh mendatangkan bahaya kepada pesawat.

Filipina berada di Lingkaran Api Pasifik, lokasi aktiviti gunung berapi dan gempa bumi adalah perkara biasa. – REUTERS

- Advertisement -