Kerajaan digesa kawal inflasi, naikkan gaji pekerja

Ahmad Fauzi Mustafa

KUALA LUMPUR: Kerajaan harus bertindak mengawal kadar inflasi susulan kos sara hidup rakyat yang semakin meningkat dan menaikkan gaji minimum pekerja , khususnya penduduk bandar yang menghadapi kesan daripada lonjakan harga barangan keperluan harian.

Penganalisis Sosio-ekonomi, Pusat Penyelidikan Strategik, Ahmad Fauzi Mustafa berkata, sebenarnya bukan golongan B40 sahaja berdepan dengan masalah kos sara hidup tinggi di negara ini, malahan golongan M40 juga turut merasai impak yang sama.

Advertisement

Menurutnya, golongan M40 yang mempunyai komitmen tinggi terutama yang terkena tempias akibat penularan wabak Covid-19.

“Bagaimanakah cara kerajaan hendak membantu menyelesaikan masalah ini?  Perlu dinaikkan tangga gaji minimum pekerja serta penawaran gaji kepada pekerja baharu atau graduan adalah mengikut kelulusan pendidikan yang lebih wajar,” katanya.

Sebagai contoh, gaji minimum bagi graduan yang berkelulusan diploma adalah bermula daripada RM2,500; graduan diploma TVET pula dibayar gaji minimum sebanyak RM2,700, manakala graduan ijazah pula bermula daripada RM3,500.

“Dengan penyelesaian tangga gaji ini, sekurang-kurangnya ia dapat membantu mengurangkan bebanan kos sara hidup penduduk di kawasan bandar.  

“Namun begitu, kerajaan juga perlu membuat pemotongan cukai pendapatan yang lebih wajar terhadap golongan M40 bagi membolehkan mereka masih ada tabungan dan kemampuan mereka untuk berbelanja,” jelasnya.

Di samping itu, ujar Ahmad Fauzi, kerajaan juga perlu mampu mencipta pekerjaan serta membuat pelaburan  baharu yang menyediakan peluang pekerjaan dan pulangan berganda kepada ekonomi negara.

“Kerajaan diharap dapat mencipta peluang perniagaan dan alat pemudahcara kepada rakyat untuk menceburi bidang perniagaan; dan mendapatkan dana serta menyediakan kawasan perniagaan yang lebih strategik bagi  mereke mengembangkan bisnes masing-masing,” katanya. – HARAKAHDAILY 22/9/2023