Surah Maryam: Kekuatan bersandar kepada Allah (9)

- Advertisement -

اِنْ كُلُّ مَنْ فِى السَّمٰوٰتِ وَالْاَرْضِ اِلَّآ اٰتِى الرَّحْمٰنِ عَبْدًا

“Tidak ada seorang pun di langit dan di bumi, melainkan akan datang kepada (Allah) Yang Maha Pengasih sebagai seorang hamba. (93)”

- Advertisement -

Semua yang berada di langit dan bumi adalah hamba atau makhluk ciptaan Allah S.W.T. Sebagai hamba, semua mengikuti arahan-Nya termasuk kita manusia. Kalau nak hidup kena makan, kalau tidak akan mati. Kalau dahaga kena minum. Sifat manusia itu sakit dan tidur.

Begitu juga dengan binatang seperti lembu dan kerbau. Allah sudah mentakdirkannya sebegitu seperti memakan rumput dan berkhidmat kepada manusia untuk menarik barangan dan balak.

Semua makhluk adalah hamba dalam pengertian tunduk terhadap peraturan dan hidup mengikut ketentuan-Nya. Dalam Bahasa Inggeris, disebut sebagai ‘natural law’.

Fenomena alam seperti ribut taufan, kemarau dan banjir juga berlaku dengan ketentuan-Nya, tidak berlaku dengan sendiri. Binatang pula tidak dapat masuk ke sekolah sebab sifatnya bukan untuk mengaji. Almarhum Tok Guru Nik Aziz pernah menyebut, beruk boleh diajar untuk memanjat pohon kelapa dan mengambil buahnya tetapi beruk itu sendiri tidak mampu mengajar anaknya.

Jadi, semua menjadi hamba-Nya dengan hidup mengikut ketentuan-Nya termasuklah bahan-bahan galian dan pokok. Ia tidak boleh memandai dengan sendiri. Bahan galian yang digunakan untuk kegunaan manusia perlu digali, dicari dan diproses daripada bahan mentah sehingga menjadi barang perhiasan yang tinggi nilainya.

Cermat dengan penggunaan istilah

Manusia moden yang tidak mempercayai agama menganggapnya sebagai ‘natural law’ atau undang-undang semulajadi. Jadi, orang Islam haruslah beringat dengan perkataan seumpama ini yang mempunyai makna yang tersendiri.

Dalam bidang Epistemologi, kita belajar asal-usul perkataan, Sesuatu perkataan itu apa maknanya dan dari mana asalnya. Oleh sebab itu, ahli falsafah sentiasa cermat dalam pemilihan suatu perkataan. Apabila bercakap mengenai agama, jangan mudah-mudah untuk kita menggunakan istilah-istilah Barat.

1. Istilah rasionalis.

Dalam aliran Rasionalisme, menggunakan akal semata-mata. Sesetengah daripada kita mendakwa bahawa golongan Muktazilah ialah golongan rasionalis dalam Islam. Ini tidak benar. Walaupun mereka banyak menggunakan akal, tetapi mereka bukan rasionalis sepertimana yang dinyatakan dalam pemikiran Barat.

Menurut Barat, pendukung rasionalis adalah orang yang menolak agama, tidak mempercayai wahyu dan menggunakan akal semata-mata. Sedangkan golongan Muktazilah bukan sebegitu, mereka tidak menolak al-Quran dan Hadis cuma mereka memahami wahyu mengikut logik akal.

Mengikut fahaman Muktazilah, kita tidak dapat melihat Allah S.W.T di akhirat. Alasannya adalah Allah mestilah berbentuk dan bertempat sekiranya kita boleh melihatnya:

وُجُوهٌ يَوْمَئِذٍ نَاضِرَةٌ * إِلَى رَبِّهَا نَاظِرَةٌ”

“Wajah-wajah orang yang masuk syurga berseri-seri dalam keadaan melihat kepada Allah.” [1]

Ayat ini digunakan oleh Ahli Sunnah Wal Jamaah. Dalam satu Hadis Sahih, Nabi juga bersabda yang bermaksud: 

“Kamu semua akan dapat melihat Allah di hari kiamat esok-esok (di dalam syurga) sepertimana kamu tengok bulan purnama malam ni.” [2]

Namun begitu, golongan Muktazilah tidak menerima kedua-dua kenyataan ini. Oleh itu, kita perlu cermat dalam penggunaan apa-apa istilah.

2. Istilah khalwat.

Profesor Syed Najib selalu marah mengenai penggunaan perkataan khalwat. Ia sebenarnya satu kalimah yang murni. Berkhalwat adalah bersendiri dalam melakukan ibadah. Sebagai contoh, Nabi berkhalwat di Gua Hira’. Tetapi ia disalahgunakan pada hari ini sehingga diertikan sebagai tangkap basah.

Ada seorang pahlawan daripada keluarga Raja Makassar yang bernama Syeikh Yusuf Tajul Khalwati. Beliau digelar Tajul Khalwati (mahkota khalwat) sebab kuat beramal dengan ilmu tasawwuf. Beliau merupakan ahli Tarekat yang sangat hebat.

Apabila kalah dalam peperangan dengan Belanda, beliau pada awalnya dibuang ke Ceylon, Sri Lanka. Orang Indonesia yang menunaikan haji di Makkah akan singgah di Sri Lanka. Syeikh Yusuf telah memberi semangat kepada mereka. Hal itu diketahui oleh Belanda dan menyebabkan beliau dibuang daerah lagi ke Cape Town, Afrika Selatan.

Oleh sebab itu, ramai yang berketurunan Melayu-Indonesia di sana pada hari ini. Kebanyakan perkataannya berasal daripada Bahasa Melayu – Indonesia.

Situasi di padang mahsyar

لَقَدْ اَحْصٰىهُمْ وَعَدَّهُمْ عَدًّا

“Dia (Allah) benar-benar telah menentukan jumlah mereka dan menghitung mereka dengan hitungan yang teliti. (94)”

Di akhirat, semua akan menghadap Allah S.W.T di padang mahsyar. Bayangkanlah betapa ramainya manusia sejak daripada zaman Nabi Adam A.S sehingga ke hari kiamat. Itu baru manusia, belum termasuk lagi makhluk-makhluk yang lain. Luasnya padang mahsyar.

Pada ketika itu, orang kafir dan orang Islam masing-masing akan diasingkan. Dalam kalangan orang Islam pun akan diasingkan dan dipilih mengikut kedudukan dan taraf di sisi Allah S.W.T: 

وَكُلُّهُمْ اٰتِيْهِ يَوْمَ الْقِيٰمَةِ فَرْدًا

“Dan setiap orang dari mereka akan datang kepada Allah sendiri-sendiri pada Hari Kiamat.  (95)”

Bagaimanakah orang kafir yang menyembah makhluk akan berhadapan dengan Allah S.W.T kelak? Sebab setiap orang akan berhadapan dengan Allah secara seorang diri. Tidak boleh membawa peguam. Lama manakah proses ketika itu? Cuma sebatang kara. Tidak dapat berlepas diri. Buku amalan akan dibuka.

Iman yang benar dan amal yang soleh harus difahami dengan baik

Sekiranya kita beriman dan beramal baik, Insya-Allah segala urusan akan menjadi mudah. Sebagai contoh ‘roadblock’. Kalau lesen, ‘roadtax’ dan insurans hidup, tiada apa yang perlu dibimbangkan:

اِنَّ الَّذِيْنَ اٰمَنُوْا وَعَمِلُوا الصّٰلِحٰتِ سَيَجْعَلُ لَهُمُ الرَّحْمٰنُ وُدًّا

“Sungguh, orang-orang yang beriman dan mengerjakan kebajikan, kelak (Allah) Yang Maha Pengasih akan menanamkan rasa kasih sayang (dalam hati mereka). (96)”

Ayat ini menjelaskan mengenai dua perkara. Yang pertama, Allah mencampakkan rasa kasih dalam hati makhluk kepada-Nya. Yang kedua, apa sahaja yang diingini akan diperolehi. Dengan memenuhi syarat beriman dan beramal soleh.

Iman mestilah benar dan tiada sebarang keraguan. Umpama kain putih yang seputih-putihnya. Seperti apa yang ada dalam al-Quran dan Hadis dan juga dijelaskan dalam surah al-Baqarah ayat 2 hingga 4.

Dalam ayat tersebut, keyakinan terhadap hari akhirat itulah yang akan menjadikan iman kita baik. Kita akan beramal baik dan meninggalkan perkara yang haram. Kalau kita tidak yakin, maka tiada dorongan untuk kita melakukan ibadah.

Iman yang benar adalah seperti yang terkandung dalam surah al-Ikhlas. Tidak bergantung dengan benda-benda pelik. Amal soleh pula merujuk kepada perbuatan yang disuruh oleh agama dan kena pada tempatnya.

Terdapat tujuh puluh pecahan iman. Yang tertinggi sekali ialah mengucap dua kalimah syahadah manakala yang terendah sekali ialah membuang benda-benda yang menyakiti di atas jalan.

Agama bukan sekadar solat, puasa dan zakat malah lebih daripada itu. Islam ditegak atas lima asas. Namun, Islam tidak sempurna kalau dengan lima asas itu sahaja. Ibaratnya membina rumah hanya dengan tiang tanpa dinding, atap, tangga, lantai dan sebagainya.

Dalam satu Hadis, Nabi pernah menyebut [3]:

أَيُّهَا النَّاسُ، أَفْشُوا السَّلَامَ وَأَطْعِمُوا الطَّعَامَ وَصِلُوا الْأَرْحَامَ، وَصَلُّوا بِاللَّيْلِ وَالنَّاسُ نِيَامٌ، تَدْخُلُوا الْجَنَّةَ بِسَلَامٍ

Keempat-empat perkara ini menyebabkan kita boleh memasuki syurga dengan sejahtera:

1) Apabila berjumpa dengan seseorang, berilah salam – Biarlah kita yang terlebih dahulu dalam memberi salam.
2) Berilah makan kepada orang yang lapar – Ketika jarang-jarang sekali singgah di kedai makan, belanjalah orang yang kurang berkemampuan.
3) Hubunglah silaturrahim – Pastikan hubungan antara saudara mara dan sepupu tidak putus. Ziarah rumah mereka pada hari raya atau bertemu mata di kenduri kahwin misalnya.
4) Bangunlah solat malam ketika waktu tengah malam di mana orang sedang tidur – Pesan seorang guru, cara nak latih bangun solat malam adalah ketika mana terjaga dari tidur sebab nak terkencing misalnya, teruslah bangun tunaikan solat sunat dua rakaat, selepas itu tidurlah.

Apabila Allah kasih akan seorang hamba, Dia akan memanggil Jibril naik ke langit. Kemudian, Jibril turun dan menyuruh malaikat-malaikat yang lain supaya mengasihi hamba itu. Malaikat akan membisikkan ke dalam hati si fulan supaya kasih akan si fulan yang lain sebab Allah mengasihinya.

Oleh sebab itu, kita akan berasa kasih terhadap orang alim walaupun kita tidak mengenalinya. Apabila baik hubungan kita dengan Allah, Allah akan mencampakkan rasa kasih terhadap makhluk.

Apabila Allah benci terhadap seorang hamba, Dia akan memanggil Jibril naik ke langit. Kemudian, Jibril turun dan mengisytiharkan kepada malaikat-malaikat yang lain bahawa Allah membenci hamba itu [4].

Istimewanya Bahasa Arab

فَاِنَّمَا يَسَّرْنٰهُ بِلِسَانِكَ لِتُبَشِّرَ بِهِ الْمُتَّقِيْنَ وَتُنْذِرَ بِهٖ قَوْمًا لُّدًّا

“Maka sungguh, telah Kami mudahkan (al-Qur’an) itu dengan bahasamu (Muhammad), agar dengan itu engkau dapat memberi khabar gembira kepada orang-orang yang bertakwa, dan agar engkau dapat memberi peringatan kepada kaum yang membangkang. (97)”

Allah S.W.T menurunkan al-Quran dalam bahasa Arab supaya Nabi S.A.W boleh berdakwah kepada kaumnya dengan mudah. Kebetulan Nabi juga ialah orang Arab. Sasaran pada ketika itu ialah orang Arab jahiliah.

Bahasa Arab adalah bahasa pilihan Allah S.W.T dan akan digunakan di dalam syurga nanti. Kita dapat bercakap dalam bahasa Arab di dalam syurga dengan sendirinya. Hebatnya Allah S.W.T, dengan lidah yang sama, kita boleh bertutur dalam pelbagai bahasa.

Bahasa Arab cukup istimewa dan sangat kaya dengan sasteranya. Antara usaha baik yang telah dilakukan oleh Kerajaan Arab Saudi adalah menterjemahkan al-Quran dalam pelbagai bahasa dunia.

Moga kehancuran umat terdahulu menjadi pengajaran

وَكَمْ اَهْلَكْنَا قَبْلَهُمْ مِّنْ قَرْنٍۗ هَلْ تُحِسُّ مِنْهُمْ مِّنْ اَحَدٍ اَوْ تَسْمَعُ لَهُمْ رِكْزًا

“Dan berapa banyak umat yang telah Kami binasakan sebelum mereka. Adakah engkau (Muhammad) melihat salah seorang dari mereka atau engkau mendengar bisikan mereka? (98)”

Ramai orang kafir sebelum ini yang melawan Nabi dan Rasul telah dihancurkan oleh Allah S.W.T seperti kaum ‘Ad, Thamud dan lain-lain. Walaupun mereka mempunyai teknologi yang hebat dan harta benda yang banyak, kesemuanya tiada erti apa-apa.

Peninggalan kaum-kaum terdahulu dijumpai. Sebagai contoh, bandar Pompeii yang telah hancur musnah dalam kejadian gempa bumi dan kebakaran. Akibat tidak beriman dan maksiat yang melampau. Oleh itu, kita hendaklah sentiasa beringat kerana walaupun kita hebat setara mana pun, kita tidak akan terlepas daripada hukuman-Nya.

Kuliah Tafsir Mingguan disampaikan Yang di-Pertua Dewan Negeri Kelantan, Dato’ Haji Mohd Amar Abdullah yang juga Naib Presiden PAS pada Isnin, 18 September 2023 di Masjid Assidiqin, Mukim Panchor, Kelantan.HARAKAHDAILY 21/9/2023

Rujukan:
[1] Surah al-Qiyamah, ayat ke  22 dan 23.
[2] Hadis Sahih Riwayat Imam al-Bukhari (no.Hadis 554).
[3] Hadis Riwayat Ibnu Majah (no.hadis 3251).
[4] Berdasarkan Hadis Sahih Riwayat Imam al-Bukhari (no.Hadis 3209).

- Advertisement -