MELIHAT kepada keputusan-keputusan politik yang dibuat oleh gandingan Anwar-Zahid sepanjang pemerintahan mereka, menampakkan konsep yang mereka anuti adalah politik Zero-Sum Game.
Zero-Sum Game satu pengamalan politik kalah-mati. Satu-satu perbezaan dianggap sebagai pertempuran hidup dan mati. Lawan dianggap musuh yang perlu dibunuh. Mengalahkan musuh adalah satu kewajipan. Dikalahkan musuh adalah satu kehancuran. Raih kemenangan atau hilang segala-galanya.
Fahaman ini akan menyebabkan mereka akan melakukan apa sahaja, untuk mencapai matlamat kemenangan tadi. Politik tidak dilihat sebagai perlawanan idea, polisi, dasar mahupun pendekatan tapi ianya sebagai sebuah peperangan hidup dan mati.
Dalam politik Zero-Sum Game hanya yang tersisa adalah pilih bersama aku, kau akan selamat, tidak bersama aku, kau tamat.
Itulah yang dapat kita saksikan, Zahid mendapat pelbagai keberuntungan, menjadi Timbalan Perdana Menteri walau ada 47 kes, kekal menjadi Presiden Umno dengan campur tangan Menteri yang tidak pernah berlaku dalam sejarah dan kini Zahid terlepas daripada 47 pertuduhan yang prima facie.
Manakala yang memilih untuk tidak bersama Anwar atau tidak mengikut kehendak Anwar, maka mereka telah berada dalam pihak musuh yang tidak boleh diberikan muka.
Terjadilah apa yang terjadi, pembangkang yang wajar dianggap penyemak imbang dilihat sebagai musuh sentiasa. Peruntukan kepada pembangkang yang diperjuangkan mereka dahulu, kini disekat.
Keadaan pembangkang kini ibarat menang jadi arang, kalah jadi abu. Inilah akibat pemikiran dan pengamalan Zero-Sum Game, pihak yang kalah akan dilanda kerugian dan hilang segalanya.
Atas asas pemikiran Zero-Sum Game yang dianuti gandingan Zahid-Anwar jugalah menyebabkan kerajaan yang ada mudah rasa tidak selamat, takut dengan bayang-bayang sendiri dan membawa kepada menafikan jasa dan sumbangan ‘mereka’ yang bukan daripada ‘kita’.
Malangnya, anak-anak muda yang masih setia bersama PH-BN turut menggeluti dan cuba menjadi pewaris kepada pemikiran ini. Ini satu lagi kerugian dan kebinasaan dalam politik Zero-Sum Game dan memanjangkan budaya politik lapuk dan kuno.
Politik demokrasi yang sebenar dan politik berasaskan pegangan Islam yang sejati perlu dibawa bagi merobohkan pemikiran dan pendekatan politik Zero-Sum Game yang sedang bermaharajalela kini.
AHMAD FAHMI MOKHTAR
Ahli Jawatankuasa Kerja
Jabatan Penerangan Pemuda PAS Negeri Terengganu – HARAKAHDAILY 21/9/2023
Politik ‘Zero-Sum Game’: Anutan Anwar-Zahid?
- Advertisement -