Kononnya TADC monopoli perniagaan beras di T’ganu?

- Advertisement -

TIMBUL pula isu kononnya TADC monopoli perniagaan beras di Terengganu sehingga menyekat peluang syarikat lain.

Suka saya maklumkan, sawah padi di Terengganu luasnya kira-kira 12,000 ha. Yang ada persijilan MyGAP hanyalah kira-kira 500 ha.

Hanya padi dari sawah MyGAP ini sahaja yang dibayar insentif oleh TADC bagi para petani yang bersetuju untuk menyertai program beras MyGAP supaya padi tersebut dapat dikilangkan secara berpusat tanpa bercampur dengan padi lain.

Dari 500 ha keluasan padi MyGAP, kira-kira 80 peratus pesawah menerima pelawaan TADC.

Beras inilah yang dibungkus oleh TADC sebagai beras MyGAP jenama BERAS GANU. Mudah untuk dikira, tak sampai 500 ha dari keluasan keseluruhan padi Terengganu berjumlah 12,000 ha yang dibungkus dan diedarkan sebagai BERAS GANU oleh TADC.

Saya tak nampak di mana yang dikatakan monopoli. Banyak lagi baki yang tinggal untuk syarikat-syarikat lain.

Kementerian Pertanian sendiri dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Pejabat Menteri menyatakan BERAS GANU hanya sekitar 6 peratus dari keseluruhan pengeluaran padi Terengganu. Jadi di mana monopoli?

BERAS GANU hanyalah satu jenama. Usaha Kerajaan Negeri ialah untuk meningkatkan keseluruhan pengeluaran padi di Terengganu.

Satu demi satu halangan timbul. Tak ada masalah, saya sedia hadapi kerana bukan mudah nak pecahkan monopoli kartel beras. Perlu ada jiwa cekal dan kental.

YB DR AZMAN IBRAHIM
Pengerusi
Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa Negeri Terengganu – HARAKAHDAILY 19/9/2023

- Advertisement -
- Advertisement -