Peruntukan R&D perlu ditambah untuk jadi negara maju

KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta menambah peruntukan terhadap bidang Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) bagi memastikan hasrat menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara berpendapatan tinggi dapat dicapai.

Dato’ Dr Ku Abdul Rahman Ku Ismail (PN-Kubang Pasu) berkata, negara maju lain membelanjakan antara tiga hingga lima peratus dari Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kepada R&D.

Advertisement

Katanya, Malaysia mempunyai potensi untuk maju dalam bidang R&D dengan kepakaran yang dimiliki, namun semua perancangan yang dibuat dilihat gagal pada peringkat pengkomersialan.

“Cadangan saya ialah kerajaan memberi perhatian lebih serius untuk meningkatkan peratus R&D yang kita belanjakan berdasarkan KDNK seperti negara pencipta teknologi lain.

“Ini kerana nak ubah Malaysia menjadi negara berpendapatan tinggi, kita tidak mahu terperangkap dalam kumpulan pendapatan pertengahan, saya rasa kita kena belanja lebih banyak untuk sektor ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mencelah penggulungan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang pada Mesyuarat Khas Penggal Kedua (Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12) di Dewan Rakyat, hari ini.

Sementara itu Lih Kang mengalu-alukan cadangan Ahli Parlimen Kubang Pasu, berkata kerajaan sedang berusaha untuk menambah peruntukan kepada R&D.

Beliau juga mengakui banyak produk penyelidikan yang dihasilkan tidak dapat dikomersialkan kerana tidak menepati kehendaki pihak industri, selain peningkatan kos yang tinggi.

“Saya amat setuju dengan cadangan Kubang Pasu bahawa negara perlu menambah dana dalam bidang ini supaya kita dapat mencapai status seperti negara maju lain.

“Ada produk bagus, tetapi tidak dapat dikomersialkan kerana kos, maka kita sangat menggalakkan penyelidik bekerjasama dengan industri supaya menepati keperluan pasaran dan bukan semata-mata nak adakan,” katanya. – HARAKAHDAILY 19/9/2023