Mengenang tragedi 11 September: Muslihat di sebaliknya

- Advertisement -

EMPAT hari lalu, jika ramai yang masih mengingati peristiwa berdarah pengeboman Bangunan World Trade Center (WTC) di New York berlaku dalam tahun 2001. Waktu siaran itu disiarkan dalam Buletin Utama 22 tahun lalu, aku berkebetulan sedang duduk di hadapan kaca TV. Sungguh ia bagaikan mimpi, menyaksikan kapal terbang yang terbang terus, melemparkan dirinya ke bangunan berkembar itu.

Tidak lama kemudian selepas serangan itu, perlahan-lahan, WTC rebah, menyembah bumi. Di atas runtuhan apa yang mereka gelarkan sebagai ground zero itu, mereka melafazkan sumpah untuk membalas dendam terhadap pembuat onar yang mengorbankan 3,000 nyawa manusia. Tidak di situ sahaja, bangunan Pentagon iaitu Kementerian Pertahanan Amerika juga berjaya diserang.

Maka muncullah nama-nama seperti al-Qaeda, Osama bin Laden, Taliban dan banyak lagi yang dikatakan sedang bersembunyi di Afghanistan dan juga sebahagian di Pakistan. Permulaan plot yang dibuat itu, cukup meyakinkan dunia. Wajah Osama beberapa kali keluar setelah peristiwa itu. Bagi yang membencinya, mahukan balasan segera dibuat. Kepada pemujanya, ada yang sehingga mengangkat beliau kepada taraf suci.

Amerika kemudiannya menyerang Afghanistan. Tentera mereka kemudiannya menduduki kawasan yang pernah menjadi kubur besar bagi ‘Beruang Merah’ iaitu gelaran bagi tentera Soviet yang mengalami kekalahan yang amat memalukan pada awal 80-an dahulu, kerana gagal menakluki Afghanistan yang miskin itu.

Rupanya jejak Amerika dapat dihidu kerana mereka mahu menyedut hasil bumi Afghanistan dan bukanlah kerana hal lain. Pada zaman Obama, watak Osama dimatikan, konon dengan satu serangan yang dibuat secara langsung oleh tentera Amerika yang membawa kepada kematiannya. Mayat Osama dibuang ke tengah laut, pengakhiran yang mudah dibaca, tidak memeningkan kepala mereka sebagai pencipta jalan cerita, tetapi membingungkan penonton yang percayakan Amerika.

Amerika beberapa tahun lalu, memutuskan untuk mengundurkan diri, mungkin sudah cukup kekayaan yang diambil. Peluang itu diambil oleh Taliban untuk menguasai semula Afghanistan yang pernah mereka kuasai dahulu selepas merampasnya daripada Presiden Najibullah, boneka Russia dijatuhkan oleh mereka pada tahun 1992. Sehingga sekarang, tiada pula kedengaran Amerika menyerang Afghanistan walaupun mereka sedar akan penguasaan Taliban di sana.

Begitulah kisah yang disulami dengan berbagai persoalan terutamanya dari rakyat Amerika sendiri berkenaan serangan dan pembalasan Amerika itu. Kemudian ditemui juga berbagai sumber konspirasi yang mendakwa, bangunan sebegitu tidak boleh runtuh dengan hempasan kapal terbang. Ada juga teori yang mengatakan ada letupan berlaku terlebih dahulu sebelum kapal terbang itu melanggar bangunan.

Akhirnya, kisah itu tidak lagi menjadi perbualan dan dunia seolah-olah melupakannya. Adakah kita tertipu dengan opera mereka ini? Jika dilihat kepada tuduhan palsu Bush kepada Iraq berkenaan pemilikan Weapons of Mass Destruction (WMD) bagi menghalalkan serangan ke atas Iraq, kita mungkin boleh bersetuju yang tuduhan kepada Afghanistan itu juga rekaan. 

Sudahnya selepas melanyak Iraq, membunuh Saddam, merogol wanita, menyedut hasil bumi serta menyerahkan Iraq kepada Nouri Al-Maliki, seorang Syiah menjadi Presiden, tiada diketemui WMD itu. Lebih melucukan, ada ungkapan daripada pihak berhaluan kiri di Amerika menyindir Bush dengan katanya Bush lied, people died. Namun Bush dengan wajah yang sangat yakin, tidak mengambil pusing berkenaan hal itu. Yang penting misinya telah dilaksanakan walau dengan cara menipu.

Peristiwa 11 September ini harus kita ambil pengajaran supaya kita tidak terlalu ghairah mempercayai manusia yang sering meletakkan kesalahan terhadap pihak lawan dengan melampau. Akhirnya mereka itu kita dapati hanyalah pembohong yang mahukan sesuatu di sebalik serangan mereka. Paling dikesalkan, apabila sudah diperlihatkan jahatnya mereka itu, masih ramai lagi yang mempercayai dan mengagung-agungkan mereka.

Tidak keterlaluan jika kita mengatakan bahawa PH, sama sahaja rancangannya sebagaimana Bush. Menipu rakyat kerana mahukan kuasa yang akhirnya kuasa itu gagal digunakan dengan sebaiknya. Malah ia hanya bagi melaksanakan kepada tujuan yang salah yang akhirnya yang menerima kesan teruk ialah rakyat. Kemudian mereka meminta supaya kita semua bersatu di bawah mereka demi negara kononnya, jangan buat kacau. Bukankah dia yang jadi perancang utama mahu menjatuhkan kerajaan 16 September 2008? Dan kebetulannya ia hanya selang lima hari dari tarikh tragedi 11 September itu. 

Chit Pooraahh… mesti Rajinikanth marah kalau dia tahu. Tara boleh pakai itu worang

MOHD NASIR ABDULLAH
15 September – HARAKAHDAILY 15/9/2023

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -
- Advertisement -