Makhluk asing di Mexico sekadar sandiwara

Jaime Maussan (kiri) dalam persidangan kongres pembentangan tentang mayat yang didakwanya bukan manusia atau makhluk asing di Mexico City, Mexico pada Selasa, 12 Sept 2023. (FOTO: EFE-EPA)
- Advertisement -

MEXICO CITY: Satu persidangan kongres Mexico melibatkan pembentangan kononnya tentang mayat bukan manusia atau makhluk asing berdepan tindak balas pantas antarabangsa pada Khamis (14 Sept), dengan pengkritik melabelkannya hanya sebagai tidak lebih sekadar suatu sandiwara.

Persoalan yang diajukan muncul daripada pegawai-pegawai kerajaan di Peru adalah tentang di manakah lokasi spesimen itu mula-mula ditemui dan bagaimana ia dibawa keluar dari negara itu.

- Advertisement -

Ini adalah susulan wartawan Mexico yang juga seorang ‘pakar’ objek terbang tidak dikenali (UFO), Jaime Maussan telah menampilkan kepada barisan ahli politik di Mexico dalam persidangan Kongres pada Selasa (12 Sept) mendakwa dua ‘mayat’ kecil yang mempunyai tiga jari pada setiap tangan dan kepala memanjang itu ialah makhluk asing.

Dia mendakwa menemuinya di Peru pada 2017 dan kedua-dua mayat itu tidak mempunyai kaitan dengan mana-mana kehidupan di bumi.

Imej daripada pendengaran kongres, yang pertama seumpamanya di Mexico, mencetuskan rasa ingin tahu antarabangsa serta cemuhan yang besar.

Bekas juruterbang Tentera Laut Amerika Syarikat, Ryan Graves, yang turut menghadiri persidangan kongres tersebut untuk berkongsi pengalaman peribadinya dengan penampakan ‘fenomena anomali tidak dikenal pasti, atau Unidentified Anomalous Phenomena (UAP) menimbulkan kritikan terhadap pembentangan itu.

“Demonstrasi semalam (oleh Jaime Maussan) adalah satu langkah besar ke belakang untuk isu (makhluk asing) ini,” kata Graves di platform media sosial X.

“Saya amat kecewa dengan ‘pertunjukan’ yang tidak berasas ini, tambahnya.

Terdahulu, Graves mengambil bahagian dalam perbicaraan Kongres AS mengenai UAP pada bulan Julai, apabila beliau berkata bahawa fenomena yang tidak dapat dijelaskan di ruang udara adalah ‘sangat kurang dilaporkan’.

Maussan sebelum dalam pembentangan itu mendakwa bahawa spesimen berkenaan ditemui berhampiran Nazca Lines purba Peru dan telah bertarikh karbon oleh Universiti Autonomi Kebangsaan Mexico (UNAM); dan disimpulkan berusia kira-kira 1,000 tahun. 

Sementara itu, Menteri Kebudayaan Peru, Leslie Urteaga berkata, tiada institusi saintifik di negara Amerika Selatan itu mengenal pasti mayat itu sebagai bukan manusia dan mempersoalkan bagaimana spesimen itu telah meninggalkan Peru.

“Terdapat aduan jenayah daripada Kementerian Kebudayaan Peru terhadap beberapa orang yang mempunyai hubungan dengan ‘tuan-tuan’ ini,” kata Urteaga kepada wartawan lewat Rabu merujuk kepada Maussan dan rakan-rakannya.

“Saya akan meminta maklumat untuk melihat apa yang telah berlaku … tentang penyingkiran objek pra-Hispanik, kerana saya faham ia adalah sebahagian daripada sisa tulang pra-Hispanik,” tambahnya.

UNAM, dalam satu kenyataan yang diterbitkan semula Rabu berkata, kerja oleh Makmal Spektrometri Jisim Kebangsaan dengan Pemecut (LEMA) hanya bertujuan untuk menentukan usia sampel. 

UNAM bagaimanapun,menolak permintaan Reuters untuk melihat hasil kajian penuh atau temu bual penyelidik yang mengambil bahagian, dan juga enggan menyatakan berapa usia bahan sampel kajian tersebut.

Dalam sidang akhbar pada hari Khamis, pegawai NASA mengemukakan soalan mengenai apa yang ditampilkan Maussan dalam persidangan kongres di  Mexico ketika mereka mengeluarkan laporan mereka sendiri mengenai cadangan untuk membantu Pentagon mengesan dan memeriksa UAP.

Bekas ketua jabatan astrofizik Universiti Princeton dan pengerusi laporan itu, David Spergel berkata, beliau tidak mengetahui sifat sampel tetapi menggesa ketelusan mengenainya.

“Jika anda mempunyai sesuatu yang pelik, sediakan sampel kepada komuniti saintifik dunia, dan kami akan melakukan penyelidikan tentang  apa yang ada di sana,” katanya. – HARAKAHDAILY  15/9/2023

- Advertisement -