Virus Nipah kembali mengganas di Kerala

Penduduk di Kerala, India kini terpaksa memakai penutup muka di tempat awam selepas dua kes kematian akibat jangkitan virus Nipah dilaporkan masing-masing pada 30 Ogos dan 1 September 2023. (FOTO: REUTERS)
- Advertisement -

NEW DELHI: Virus Nipah kembali mengganas di Kerala mengakibatkan beberapa buah sekolah, pejabat dan kenderaan awal ditutup di selatan Kerala, dalam usaha untuk menghentikan wabak virus Nipah rentetan dua kematian dilaporkan sebelum ini akibat jangkitan tersebut.

Pegawai kesihatan tempatan berkata, dua individu dewasa dan seorang kanak-kanak dilaporkan masih bertarung dengan jangkitan tersebut di hospital, manakala lebih 700 individu lain sedang jalani ujian bagi mengesan virus,

- Advertisement -

Jangkitan virus tersebut dilaporkan boleh berlaku melalui sentuhan dengan titisan ataupun rembesan cecair haiwan seperti kelawar dan babi serta manusia yang dijangkiti.

Kerajaan tempatan melaporkan setakat ini sekurang-kurangnya 706 orang termasuk 153 pegawai kesihatan masih menunggu keputusan ujian bagi mengenal pasti jangkitan virus tersebut, lapor Reuters.

“Jumlah individu yang perlu jalani ujian dijangka bertambah dan pusat isolasi akan dibuka,” Kata Ketua Menteri Kerala, Pinarayi Vijayan dalam satu kenyataan pada Rabu (13 Sept).

Sehubungan itu, beliau turut menggesa supaya orang rami mengelakkan aktiviti berkumpul di tempat awam di daerah Kozhikode dalam masa sepuluh hari ini.

Sejak 30 Ogos lalu, dua individu yang terkena jangkitan sebelum ini dilaporkan maut di Kerala akibat wabak virus gelombang yang keempat di negeri itu sejak 2018, memaksa pihak berkuasa mengisytihar kawasan itu ditutup melibatkan lapan buah kampung di daerah Kozhikode.

“Kita sekarang dalam usaha untuk mengesan dengan lebih awal kontak rapat mereka yang dijangkiti dan mengasingkan mereka yang mengalami simptom berkaitan,” kata Menteri Kesihatan, Veena George dalam sidang media.

Menurut Veena, virus yang dikesan di Kerala adalah sama seperti yang dijumpai di Bangladesh sebelum ini, iaitu strain yang tersebar dari manusia ke manusia dengan kadar kematian yang tinggi namun ianya mempunyai kadar jangkitan yang rendah.

“Pergerakan orang awam telah dihadkan di sesetengah kawasan bagi membendung krisis kesihatan ini.”

Beliau turut menjelaskan buat masa ini, ahli epidemiologi sedang menggunakan ubat antiviral dan sejenis antibodi ‘monoclonal’ untuk merawat tiga pesakit yang terkena jangkitan, termasuk seorang pegawai perubatan.

Selain itu, peraturan isolasi yang ketat turut dilaksanakan apabila staf yang mempunyai kontak dengan individu terjangkit akan terus diasingkan.

Terdahulu, pihak berkuasa memaklumkan mangsa pertama yang maut terkena jangkitan merupakan pekebun pisang dan kekacang di perkampungan Kozhikode di Maruthonkara, yang mana usaha mengesan semua individu dan tempat dilawatinya itu sudah dikenalpasti.

Sementara anak perempuan mangsa dan abang iparnya antara yang terkena jangkitan tersebut kini dirawat di wad pengasingan, manakala ahli keluarga yang lain masih menunggu keputusan ujian.

Kematian kedua pula dilaporkan akibaot kontak dengan mangsa pertama di hospital, yang mana individu tersebut tidak mempunyai sebarang pertalian darah dengan mangsa pertama.

Kes Virus Nipah ditemukan buat pertama kali pada 1999 di Malaysia dan Singapura menerusi wabak penyakit melibatkan penggembala babi.

Wabak ini secara semulajadinya adalah sporadik dan jangkitan di Asia Tenggara sebelum ini turut dilaporkan berlaku menerusi air nipah yang diminum dicemari tahi kelawar.

Bagi kes mangsa pertama, perkampungan yang didiami oleh individu tersebut dikatakan berdekatan dengan kawasan hutan 300 ekar yang merupakan habitat bagi beberapa jenis kelawar, yang mana ketika wabak Nipah pada 2018, ‘kelawar buah’ telah di kawasan yang sama disahkan positif virus tersebut.

Ketika wabak Nipah pertama kali dikesan di Kerala, 21 daripada 23 individu dijangkiti maut manakala pada 2019 dan 2021 virus tersebut telah meragut dua nyawa.

Sementara itu, negeri Tamil Nadu yang bersempadan mengumumkan pengunjung dari Kerala wajib menjalani ujian manakala mereka yang mempunyai simptom akan diasingkan. – HARAKAHDAILY  14/9/2023

- Advertisement -