TAIPEI: “Taiwan ‘bukan untuk dijual!” tegas Menteri Luar negara itu dalam satu teguran keras berbaur kecam terhadap Elon Musk yang sebelum ini menegaskan bahawa Taiwan adalah sebahagian daripada China, ketika bilionair itu sekali lagi mengharungi isu perit hubungan antara Beijing dan Taipei.
Pemilik platform media sosial X, serta syarikat konglemerat kereta elektrik, Tesla dan rangkaian satelit Starlink itu membuat komen kontroversi berkenaan dalam Sidang Kemuncak All-In di Los Angeles yang dimuatnaik ke YouTube pada minggu ini.
“Dasar (Beijing) adalah untuk menyatukan semula Taiwan dengan China. Dari sudut pandangan mereka, mungkin ia serupa dengan Hawaii atau sesuatu seperti itu, seperti bahagian penting China yang sewenang-wenangnya bukan sebahagian daripada China kebanyakannya kerana … Armada Pasifik AS telah menghentikan sebarang usaha penyatuan semula secara paksa,” kata Musk, lapor Reuters.
Sehubungan itu, Menteri Luar Taiwan berkenaan, Joseph Wu, dalam satu kenyataan dalam nada menyindir di X lewat Rabu (13 Sept) menyatakan bahawa beliau berharap Musk ‘boleh meminta China untuk membuka platform X kepada rakyat negara itu’.
Terdahulu, China menyekat X, bersama-sama dengan platform media sosial Barat yang lain seperti Facebook dan Instagram daripada boleh diakses oleh rakyatnya.
“Mungkin dia (Elon Musk) fikir melarangnya (platform X) adalah satu dasar yang baik, seperti mematikan Starlink untuk menggagalkan serangan balas Ukraine terhadap Rusia,” tambah Wu, merujuk kepada Musk yang menolak permintaan Ukraine untuk mengaktifkan rangkaian satelit Starlinknya di bandar pelabuhan Crimea, Sevastopol tahun lepas untuk membantu menyerang armada Rusia di sana.
“Dengar sini (khusus untuk Elon Musk), Taiwan bukan sebahagian daripada RRC & sudah tentu bukan untuk dijual!” tegas Wu menggunakan akronim RRC untuk Republik Rakyat China.
Kerajaan Taiwan yang dipilih secara demokrasi menolak sekeras-kerasnya tuntutan kedaulatan China, dan mengatakan bahawa hanya rakyat Taiwan boleh menentukan masa depan negara itu.
Ini bukan kali pertama Musk, yang mempunyai kilang besar Tesla di Shanghai, telah menimbulkan kemarahan Taiwan.
Pada Oktober lalu, beliau mencadangkan bahawa ketegangan antara China dan Taiwan boleh diselesaikan dengan beberapa kawalan tertentu ke atas Taiwan diserahkan kepada Beijing, yang mendapat teguran keras yang sama dari Taiwan.