Mengapa BRICS digeruni Barat?

- Advertisement -

SIDANG Kemuncak BRICS telah berlangsung di Johannesburg, Afrika Selatan baru-baru ini dengan dihadiri oleh lebih daripada 25 pemimpin dunia antaranya ialah China, Rusia, Brazil, India, Arab Saudi, UAE, Mesir, Indonesia, Algeria, Bangladesh, Cuba, Ethiopia, Ghana, Nigeria, Iran, Namibia dan Palestin termasuk juga Setiausaha Agung PBB Antonio Gutteres, Kesatuan Afrika, OIC dan Africa Maghreb Union.

- Advertisement -

BRICS yang selama ini kurang menjadi tumpuan dan hanya dianggap sebagai ‘idea picisan’ China dan Rusia untuk mencabar Barat terutamanya Amerika Syarikat dari sudut ekonomi, kewangan dan perdagangan kini mula mendapat tumpuan.

Sistem ekonomi dan kewangan dunia secara asasnya dikawal oleh Amerika Syarikat. Ia telah berjalan selama hampir 80 tahun apabila negara-negara di dunia telah menandatangani Perjanjian Bretton Woods pada tahun 1944 yang telah menobatkan matawang Dollar Amerika Syarikat sebagai matawang perdagangan utama dunia dan kemudiannya ditubuhkan Bank Dunia, WTO, IMF serta dicipta PetroDollar untuk memperkukuhkan kedudukan tersebut.

Jika dilihat secara politik, BRICS sebenarnya ditubuhkan bukan sahaja sebagai alternatif kepada sistem ekonomi dan kewangan Barat tetapi juga untuk memecahkan dunia unipolar yang selama ini diterajui oleh Barat sama ada dari sudut geopolitik, ekonomi, kewangan mahupun perdagangan.

Ketika ini negara-negara Amerika Selatan, Afrika dan Asia mula melihat BRICS sebagai alternatif terbaik kepada pembangunan ekonomi negara mereka berbanding sistem sedia ada yang diterajui Barat yang hanya memberikan keuntungan dan faedah hanya kepada Barat.

Namun tidak bagi Barat kerana BRICS telah mula dilihat sebagai ancaman besar kepada sistem sedia ada yang diterajui mereka. Rata-rata media Barat telah mula menggesa pemimpin mereka supaya bertindak segera bagi menangani pengaruh BRICS yang semakin membesar dan pemimpin-pemimpin Barat seperti calon Presiden Amerika Syarikat dari parti Republikan yang juga Gabenor Florida Ron DeSantis dan ramai lagi telah mula menyuarakan kebimbangan terhadap BRICS.

Mengapa kali ini BRICS mula dilihat sebagai ancaman kepada hegemoni penguasaan Barat ke atas sistem kewangan dan perdagangan dunia?

Pertama: Penguasaan BRICS ke atas ekonomi dunia.

Ketika BRICS mula ditubuhkan pada 2010, ia langsung tidak memberi kesan kepada sistem ekonomi, kewangan dan perdangan dunia yang diterajui Barat tetapi kini kadar KDNK negara-negara BRICS iaitu Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan telah melebihi negara-negara dari kumpulan G7 yang diterajui oleh Amerika Syarikat. Ini bermakna ekonomi negara-negara BRICS adalah lebih besar daripada negara-negara kumpulan G7 dan ia bakal mengancam hegemoni Barat.

Kedua: Pertambahan keanggotaan BRICS dan kesannya ke atas ekonomi dunia.

Arab Saudi, Mesir, Argentina, Iran, Ethiopia dan UAE telah diterima sebagai negara anggota baharu BRICS pada Sidang Kemuncak BRICS yang lalu.

Jika dilihat kepada keseluruhan negara anggota BRICS termasuk 6 negara anggota baharu, BRICS dijangka akan mengawal sektor minyak mentah dan gas dunia. Brazil, China, India dan Rusia adalah antara pengeluar makanan utama dunia. Penyertaan negara anggota baharu ke dalam BRICS seperti Argentina dan Iran yang sememangnya antara pengeluar utama makanan di rantau masing-masing mengukuhkan lagi kedudukan BRICS sebagai antara pengeluar utama makanan dunia.

Negara anggota BRICS mempunyai rizab galian dan mineral berharga yang begitu tinggi serta amat kritikal dalam sektor perindustrian dunia seperti pembuatan chip, semikonduktor dan kereta elektrik. Emas, berlian, aluminium, arang batu, bauksit, platinum, titanium dan pelbagai lagi mineral termasuk rizab REE yang begitu tinggi banyak terdapat di negara-negara BRICS.

Maka bolehlah dinisbahkan bahawa BRICS dijangka akan mengawal sumber asli dan komoditi dunia tidak lama lagi dan ia akan menjadikan BRICS kumpulan ekonomi yang lebih besar dari kumpulan G7.

Ketiga: Sistem kewangan baharu dan multipolar yang diterajui BRICS.

Ramai yang tidak mengetahui bahawa BRICS sebenarnya mempunyai sistem perbankan atau kewangannya sendiri yang diterajui oleh NDB atau New Development Bank yang berpusat di Shanghai, China yang ditubuhkan pada 2014. Namun sebelum ini aktiviti kewangannnya agak perlahan tetapi telah mula mengembangkan operasinya secara pantas sejak dua hingga tiga tahun yang lalu.

NDB telah mula memberikan pinjaman kewangan kepada negara-negara membangun dan miskin seperti Lesotho baru-baru ini untuk membangunkan projek infrastrukturnya dan tidak seperti Barat yang memberikan pinjaman kewangan dengan syarat yang berat sebelah dan mempunyai tuntutan tidak masuk akal.

Dalam masa sama, NDB turut bertindak merangka sistem kewangan dan instrumen hutang bagi negara-negara anggota BRICS yang mana ia boleh turut diakses oleh negara-negara bukan anggota yang bertujuan mewujudkan perdagangan langsung termasuk mengurangkan kebergantungan kepada matawang Dollar serta sistem kewangan dan ekonomi yang diterajui Barat.

Jika pendekatan agresif NDB atau BRICS Bank ini berterusan, maka tidak mustahil negara-negara anggota BRICS mampu dimerdekakan daripada sistem kewangan Barat serta hegemoni Dollar Amerika Syarikat dan dalam masa sama tidak mustahil ia akan dituruti oleh negara-negara lain. Maka tidak hairanlah ketika ini telah ada tanggapan bahawa NDB tidak lama lagi akan menjadi ancaman kepada IMF mahupun Bank Dunia.

Itu sebahagian dari apa yang dilihat sebagai ancaman dari BRICS oleh Barat terhadap sistem ekonomi, kewangan dan perdagangan yang diterajuinya. Menurut penganalisa ekonomi dan geoplitik dunia, jika Barat leka dengan agenda perang proksinya di Ukraine serta tumpuan untuk mempertahankan kuasa geopolitiknya yang semakin rapuh di Asia Barat, Eropah dan Asia Timur, tidak mustahil BRICS mampu melemah dan meranapkan sistem ekonomi, kewangan dan perdagangan yang diterajui Barat dalam beberapa tahun mendatang.

Namun yang lebih merisaukan Barat adalah deretan negara yang dianggarkan hampir 40 buah telah memohon untuk menggangotai BRICS. Jika dilihat dan diperhalusi 40 buah negara tersebut, kita akan mampu bayangkan bagaimana besarnya BRICS selepas ini dan mengapa ia telah dilihat sebagai ancaman yang sangat besar kepada Barat

Mungkin sebelum ini kita semua membaca dan melihat semakin rapuhnya penguasaan geopoltik Barat ke atas dunia tetapi kita tidak sedar untuk menjadi kuasa geopolitik yang besar dan kuat ianya memerlukan penguasaan dan cengkaman ekonomi yang amat kuat di mana hakikatnya ketika ini hegemoni ekonomi, kewangan dan perdagangan Barat juga turut semakin lemah sebagaimana pengaruh geopolitiknya.

Namun alangkah baiknya jika Dunia Islam berganding bahu membentuk kumpulan ekonomi sebegini kerana kekuatan Dunia Islam amat besar di dunia. Mungkin ia mememerlukan masa dalam merangkanya dan keutamaan saat ini adalah untuk mendekatkan ukhuwah, kesatuan dan perpaduan di kalangan negara-negara Dunia Islam yang agak renggang sebelum ini.

Insya-Allah dengan usaha berterusan untuk menyatupadukan ummah serta seruan berterusan kepada kesatuan dan perpaduan di kalangan negara-negara Dunia Islam, tidak mustahil Dunia Islam mampu bangkit menjadi kuasa yang disegani di seluruh dunia sama ada dari sudut ekonomi mahupun politik seterusnya mampu meletakkan Islam sebagai agama, tamadun dan kuasa yang amat dihormati dan disegani di seluruh dunia.

“Malaysia Sejahtera”

YB DR. MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar PAS Pusat
AJK PAS Pusat – HARAKAHDAILY 12/9/2023

- Advertisement -