Konsert: PAS Batu Kawan, Nibong Tebal buat laporan polis

PAS Kawasan Batu Kawan dan Nibong Tebal membuat enam laporan polis di IPD Jawi pada 29 Ogos bagi membantah penganjuran konsert viral lagu TikTok di Stadium Batu Kawan.
- Advertisement -

NIBONG TEBAL: PAS Kawasan Batu Kawan dan Nibong Tebal telah membuat laporan polis sebagai membantah penganjuran Konsert Viral Lagu Lagu TikTok Malaysia Indonesia 2023 yang akan diadakan di Stadium Batu Kawan.

- Advertisement -

Konsert tersebut pada awalnya dijadualkan berlangsung di Dewan Milenium, Kepala Batas pada 30 September telah mendapat bantahan daripada penduduk di situ.

Penganjuran konsert itu dibantah penduduk kerana dianggap tidak mengambil kira sensitiviti umat Islam, lebih-lebih lagi ia diadakan dua hari selepas umat Islam meraikan sambutan Maulidur Rasul.

Hal ini turut disuarakan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Agama Islam Pulau Pinang, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid yang meminta Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) supaya membatalkan kelulusan konsert.

Akibat bantahan terbabit penganjur bagaimanapun bertindak sebaliknya apabila bersetuju memindahkan lokasi konsert ke Stadium Batu Kawan.

Menurut Ketua Pemuda PAS Kawasan Batu Kawan, Mohd Kamil Abd Halim, menyedari perkara tersebut pihaknya bertindak membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jawi pada 29 Ogos.

Ketua Pemuda PAS Kawasan Batu Kawan, Mohd Kami Abd Halim (kanan) menunjukkan kertas salinan laporan polis.

“Enam laporan polis dibuat oleh pihak kami dan insha Allah selepas ini kami akan kerahkan lagi pihak kariah, penduduk dan NGO untuk membuat laporan polis.

“Laporan polis ini kita buat dulu, kalau tidak ada tindakan mungkin kami akan buat demonstrasi di Stadium Batu Kawan,” katanya.

Pihaknya juga telah menghantar memorandum bantahan konsert di pejabat MBSP pada 25 Ogos selain mewujudkan petisyen bantahan secara atas talian.

“Maklum balas MBSP kepada kami, mereka kata program itu telah diluluskan oleh kerajaan negeri. Jadi konsert itu tetap akan diteruskan di Stadium Batu Kawan sebab permit semua sudah dibayar oleh pihak penganjur.

“Orang yang booking tiket pun dah ramai semua. Tapi bagi kita itu bukanlah alasan sebab mereka ada kuasa. Bila rakyat tak setuju sepatutnya mereka kena terimalah penduduk punya pandangan sebab impaknya adalah kepada penduduk.

“Sebagai penduduk, kita ni pun tak tahu penganjur tu datang daripada mana, jadi mereka tak bolehlah bagi alasan begitu,” katanya.

Tinjauan Harakahdaily di laman sesawang penjualan tiket konsert berkenaan tidak mengandungi butiran keterangan mengenai penganjur konsert. Tiket dijual pada harga RM199 dan RM299 serta terbuka pada usia 18 tahun ke atas.

Selain itu pihak penganjur mensyaratkan penonton yang akan menghadiri konsert mesti berpakaian sopan, berkasut tutup, berseluar panjang dan tidak dibenarkan memakai selipar.

Penganjur juga melarang penonton merakam dan menangkap gambar sepanjang konsert berlangsung.

Tinjauan Harakahdaily pada 12 September untuk bantahan melalui petisyen atas talian yang dibuka sejak 27 Ogos mendapati 1,304 tandatangan telah dikumpulkan.

“Hasil daripada petisyen tu nanti kami akan hantar dan serah sekali lagi kepada Datuk Bandar MBSP. Kita nak tunjukkan bahawa penduduk di sini tidak bersetuju. Jadi kita nak buat sampai konsert ini berjaya dibatalkan,” ujarnya.

Kata Kamil lagi, pihaknya sudah dihubungi penganjur konsert yang mengetahui tentang bantahan yang disuarakan penduduk.

“Penganjur kata terpulang kepada kita nak bantah. Bagi pihak mereka, mereka sudah mendapat kelulusan daripada kerajaan negeri. Permit kebenaran untuk mengadakan konsert pun mereka dah dapat daripada MBSP. Jadi mereka tidak hadapi apa-apa masalah dah,” ulasnya lagi.

Katanya promosi konsert berkenaan sangat rancak di media sosial malah ada pengguna media sosial yang menasihatkan artis yang diundang ke konsert itu agar tidak meneruskan.

“Kita nasihatkan artis yang diundang ke konsert melalui media sosial mereka yang sedang mempromosikan konsert tersebut, bagaimanapun kita pula yang diperli.

“Nampak di situ agak biadaplah. Ibarat kata, masuk kawasan orang untuk nyanyi dangdut, bila kita bagitahu suara hati kita yang mengharapkan mereka faham, kita pula yang disindir mereka,” katanya. – HARAKAHDAILY 12/9/2023

- Advertisement -