PRK Pulai dan Spg Jeram: Teruskan agenda siasatuddakwah

Penghargaan buat seluruh jentera PN dan calon

- Advertisement -

DEWAN Ulamak PAS Pusat (DUPP) mengucapkan penghargaan kepada calon PERIKATAN NASIONAL (PN) dan seluruh jentera yang hadir dari segenap pelosok kawasan bagi membantu memenangkan PN dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram. 

DUPP turut ingin menzahirkan ucapan penghargaan khusus kepada jentera Dewan Ulamak di pelbagai peringkat serta para asatizah yang memberikan sumbangan ketika tempoh berkempen sama ada secara langsung mahupun tidak langsung. 

Terima kasih yang tidak terhingga juga kepada para pengundi di kedua-dua kawasan. Insya-Allah jentera PN akan meneruskan komitmen yang tinggi untuk membawa gelombang rakyat bersih dan stabil ke negeri-negeri di wilayah Selatan pada masa akan datang.

Bagi jentera yang berjuang di mana jua lapangan, kita seharusnya yakin bahawa kemenangan akan muncul jua pada satu masa kelak. Tiada istilah berputus asa dalam kamus berjuang melainkan istilah istiqamah atas jalan ini dengan sepenuh hati.

Yakinlah bahawa kebenaran kelihatan lemah pada zahirnya tetapi pasti akan menang jua akhirnya. Sebaliknya kebatilan pula tidak akan kekal lama dan akan terhapus sedikit demi sedikit ibarat dedaun yang dimakan ulat.

Meskipun berhadapan dengan cabaran getir untuk menang dalam kedua-dua PRK ini, PN telah berjaya meningkatkan jumlah undi yang signifikan. Ia menunjukkan sokongan rakyat kepada PN semakin jelas, hanya menunggu masa untuk menumbangkan kebobrokan dan kesombongan sang penguasa. 

Insya-Allah, kita akan memberikan tumpuan terhadap PRK Pelangai yang akan dijadualkan kelak. Semoga beroleh kemenangan sebagaimana yang diharapkan. Kepada Allah S.W.T kita berserah.

YB USTAZ DATO’ HAJI AHMAD YAHAYA
Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat – HARAKAHDAILY 11/9/2023

- Advertisement -
- Advertisement -