PRK: Saluran anak muda masih perlahan awal pagi

- Advertisement -

MUAR: Saluran pengundian melibatkan anak muda masih kurang berbanding saluran lain, kata calon Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Simpang Jeram, Dr Mazri Yahya.

- Advertisement -

“Setakat jam 10.30 pagi ni semua pusat mengundi berjalan dengan lancar. Dan saya dapati di saluran satu, saluran dua, pengundi agak berpusu-pusu juga. Tapi bagi saluran anak muda, (saluran) tiga, empat dan ke atas ni ia agak perlahan sikit.

“Saya rasa kemungkinan biasanya anak-anak muda dan akan datang lewat dalam pukul 11 ke atas,” ujarnya kepada Harakahdaily ketika ditemui di pusat mengundi Sekolah Kebangsaan Simpang Jeram di sini, sebentar tadi.

Beliau dalam masa yang sama menyeru kepada semua pengundi di Simpang Jeram untuk hadir secepat mungkin ke pusat-pusat mengundi bagi menyempurnakan hak mereka sebagai warganegara Malaysia.

Mengulas tentang perjalanan pilihan raya, Dr Mazri yang merupakan kali kedua diamanahkan sebagai calon di DUN Simpang Jeram berkata, setakat ini tidak ada perkara yang tidak diingini berlaku.

“Setakat ni yang saya dapat maklumat semuanya berjalan dengan lancar dan tidak ada isu tentang IC bertindih ataupun tidak dapat mengundi dan sebagainya, semua baik. Insya-Allah,” ujar beliau.

Seramai 40,301 orang pengundi bagi DUN Simpang Jeram bakal menunaikan tanggungjawab mereka melibatkan 14 pusat mengundi dan 68 saluran yang mula dibuka kepada pengundi sejak jam 8.00 pagi dan akan ditutup pada jam 6.00 petang.

PRK DUN Simpang Jeram menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara Dr Mazri dengan Nazri Abd Rahman (PH) dan calon Bebas, S Jegananthan. – HARAKAHDAILY 9/9/2023

- Advertisement -