Segera tunaikan hajat rakyat

Penulis (kiri) bersama dengan Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan isteri.
- Advertisement -

Keadilan Islam dalam lipatan sejarah (Siri 83)

- Advertisement -

SEORANG wanita dari penduduk Kufah datang kepada Umar bin Abdul Aziz.

Katanya: Wahai Amir al-Mukminin! Aku dan anak perempuanku sedikitpun tak dapati dari apa yang dibahagikan oleh Amir al-Mukminin.

Umar bertanya: Kenapa denganmu?

Wanita itu menjawab: Kemarau panjang, kering-kontang, lapar.

Jawab Umar: Kembali kepadaku hingga malam nanti. Aku tulis surat untukmu.

Kemudian Umar menambah: Sekejap! Barangkali aku tak perlu tunggu hingga malam. Kamu masuk temui Fatimah binti Abdul Malik (iaitu isterinya).

Ketika wanita itu berada di tepi Fatimah, tiba-tiba Umar bangun. Beliau mencurah air wuduk untuk dirinya. Wanita itu berkata kepada Fatimah binti Abdul Malik: Kenapa kamu tidak mengambil pakaianmu lalu menutup kepalamu yang terdedah?

Fatimah menjawab: Kamu tak kenal siapa ini? Ini Amir al-Mukminin, dia mengambil wuduknya sendiri.

Wanita itu menyebut: Kemudian beliau memanggilku, dan beliau  menulis surat untukku. (Sirah Umar bin Abdul Aziz, Ibn Abdul Hakam ms 45)

Di dalam sebuah negeri atau negara, rakyat ada pelbagai lapisan. Golongan wanita, terutama yang tiada suami, tetapi ada anak-anak, sering kali tertinggal untuk mendapat pembelaan.

Justeru, Islam sangat mengambil berat terhadap mereka.

Dalam sirah para Khulafa ar-Rashidin, juga sirah Umar bin Abdul Aziz, kita dapat lihat betapa mereka mengambil berat kebajikan kelompok ini.

Di peringkat negeri Terengganu khususnya, Alhamdulillah, pihak kerajaan telah membuat pelbagai program, diberikan insentif dan menawarkan pelbagai peluang kepada golongan wanita yang ada anak-anak dan tiada suami ini.

Wanita yang mengadu di atas menyebut tentang kemarau panjang, kering kontang dan lapar. Ia adalah antara musibah besar ke atas sesuatu tempat. Kemarau panjang menyebabkan tumbuh-tumbuhan tidak menjadi, pokok tidak berbuah, binatang ternak kekurangan rumput untuk diragut, susu kambing kurang dan manusia tiada sumber makanan.

Oleh sebab itu Nabi Ibrahim pernah berdoa:

وَاِذْ قَالَ اِبْرٰهٖمُ رَبِّ اجْعَلْ هٰذَا بَلَدًا اٰمِنًا وَّارْزُقْ اَهْلَهٗ مِنَ الثَّمَرٰتِ مَنْ اٰمَنَ مِنْهُمْ بِاللّٰهِ وَالْيَوْمِ الْاٰخِرِۗ..

Maksudnya: “Dan (ingatlah) ketika Ibrahim berdoa, “Wahai Tuhanku!  Jadikanlah (negeri Mekah) ini negeri yang aman dan berilah rezeki berupa buah-buahan kepada penduduknya, iaitu di antara mereka yang beriman kepada Allah dan hari kemudian..” (Al-Baqarah: 126)

Baginda mengharapkan limpahan kurnia Allah untuk negeri Mekah yang berada di padang pasir itu agar penduduknya mendapat rezeki yang baik.

Dalam konteks semasa, kerajaan mesti memberi perhatian kepada makanan asasi dan ruji seperti isu harga beras yang sedang diperkatakan sehari dua ini.

Umar bin Abdul Aziz mengambil perhatian kepada aduan wanita tersebut. Beliau berjanji untuk menulis surat, sedangkan beliaulah sebenarnya ketua kerajaan ketika itu. Sikap mengambil perhatian sebegini mesti ada kepada pegawai-pegawai kerajaan dan agensi yang berkaitan.

Umar bin Abdul Aziz mengambil wuduknya sendiri. Ia adalah contoh tawaduk seorang pemimpin. Sifat tawaduk dalam pelbagai bentuknya mesti ada pada pimpinan kerajaan negeri, pusat dan semua yang bernama pemimpin.

Batas aurat wanita juga adalah satu perkara penting. Wanita tadi menegur Fatimah. Cuma beliau tidak perasan bahawa Fatimah adakah isteri Umar. Pemimpin yang ada mesti menjaga batas aurat isterinya. Jangan biarkan free hair, pakaian tidak sopan atau lain-lain perkara yang dilarang syarak.

Apabila pemimpin itu segera tunaikan hajat rakyat, sensitif kepada keperluan mereka, ada sifat tawaduk, menjaga akhlak, peribadi diri dan isterinya, ketika itu rahmat Allah akan turun menjaganya dan negerinya. Moga negeri ini menjadi baldatun toyyibah wa rabbun ghafur. – HARAKAHDAILY 7/9/2023

Penulis adalah Timbalan Pengerusi Lajnah Tarbiah, Badan Perhubungan PAS Terengganu.

- Advertisement -