Peniaga kecil tambah terdesak, harga beras naik

- Advertisement -

MUAR: Ramai peniaga kecil di sini mengeluh kerana harga barang keperluan harian semakin meningkat sekarang.

- Advertisement -

Calon PERIKATAN NASIONAL (PN) Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Simpang Jeram, Dr Mazri Yahya berkata, ramai peniaga mengadu kenaikan harga barangan keperluan harian sehingga menjejas hasil jualan mereka.

Katanya, keadaan tambah terdesak dengan peningkatan ketara harga beras yang memerlukan tindakan segera Kerajaan Persekutuan bagi menanganinya.

“Beberapa hari lepas harga beras meningkat. Harga beras super import meningkat tetapi harga beras tempatan masih stabil.

“Masalahnya beras tempatan tidak banyak dijumpai, bekalan pun tak ada. Ini memerlukan pemantauan daripada agensi-agensi terlibat,” katanya pada sidang media selepas membentangkan manifesto PN PRK DUN Simpang Jeram di Markas PAS Bakri hari ini.

Menurutnya juga harga beras super import di pasaran sebelum ini dalam lingkungan RM26 bagi 10 kilogram, namun sekarang mencecah RM36.

Kata beliau kenaikan itu akan memberi kesan kepada peniaga dan pengguna yang semakin berdepan kuasa beli semakin mengecil.

“Ada antara mereka mengeluh pendapatan bulanan berkurang sebanyak 30 peratus daripada apa yang mereka perolehi sebelum ini,” katanya.

Tambah beliau keadaan lebih malang lagi kerana kerajaan sekarang seperti tidak mempunyai hala tuju jelas dan keadaan ekonomi masih tidak bergerak ke hadapan.

Turut hadir pada sidang media tersebut Penolong Setiausaha Agung PAS, Khairul Faizi Ahmad Kamil; Pesuruhjaya PAS Johor, Ustaz Abdullah Husin; Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Johor, Rusman Kemin dan ADUN Maharani, Abdul Aziz Talib. – HARAKAHDAILY 6/9/2023

- Advertisement -