MUAR: Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz menzahirkan keyakinan bahawa gelombang sokongan rakyat kepada PERIKATAN NASIONAL semakin kuat.
Katanya, gelombang itu bukan sahaja berterusan malah menjadi lebih kuat dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Simpang Jeram dan Parlimen Pulai yang sedang berlangsung sekarang.
“Saya yakin bahawa berdasarkan kepada realiti politik semasa negara kita hari ini, momentum PN adalah begitu kuat dan penerimaan masyarakat rakyat negara kita kepada PN,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau yakin rakyat di negeri ini bijak memilih pada PRK yang berlangsung pada 9 September ini.
“Dan perubahan akan tetap berlaku sehingga ke negeri Johor. Kita tengah bergerak dengan cepat. Rakyat sedang menilai kejayaan kita memerintah di beberapa negeri.
“Dan saya yakin bahawa anak-anak muda hari ini sudah begitu cemerlang dalam penilaian mereka, begitu matang,” katanya kepada media selepas siding media dan pembentangan Tawaran PERIKATAN NASIONAL DUN Simpang Jeram oleh calon PRK DUN itu, Dr Mazri Yahya di Markas PAS Kawasan Bakri, hari ini.
Dalam sidang media tersebut, Dr Mazri telah membentangkan tawaran yang berjudul ‘Simpang Jeram Sejahtera Dan Berpendidikan’.
Tawaran tersebut mengandungi empat tawaran iaitu Dialog Awam Berkala; Prihatin Masyarakat Majmuk; Pelan Penubuhan Kompleks Sukan dan Pelan Penempatan Rumah Mampu Milik.
Turut hadir dalam sidang media tersebut ialah Penolong Setiausaha Agung PAS, Khairul Faizi Ahmad Kamil, Pesuruhjaya PAS Johor, Ustaz Abdullah Hussin, Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Johor, Rusman Kemin dan ADUN Maharani, Abdul Aziz Talib. – HARAKAHDAILY 6/9/2023