Senator `beku’ AS dibenarkan teruskan tugas

- Advertisement -

WASHINGTON: Pemimpin Republikan, Mitch McConnell dibenarkan secara perubatan untuk meneruskan tugas, kata doktor yang merawatnya semalam, sehari selepas senator berusia 81 tahun itu tiba-tiba kaku ketika satu majlis di Kentucky.

Kejadian itu menimbulkan persoalan baharu mengenai tahap kesihatan pemimpin parti paling lama berkhidmat dalam sejarah Senat AS, yang sebulan sebelum itu tiba-tiba kaku ketika sidang media di Capitol AS.

- Advertisement -

Rabu lalu, ketika McConnell bercakap kepada wartawan di Kentucky, dia kaku lebih 30 saat. Dia akhirnya menjawab dua lagi soalan, tetapi apabila dia berbuat demikian, suaranya bergetar dan senyap. Pembantunya memberi alasan bahawa dia pening kepala.

McConnell diketepikan dari Kongres awal tahun ini, selepas tersandung pada Mac lalu dan dimasukkan ke hospital kerana gegaran otak dan patah tulang rusuk kecil. Beliau kembali ke Senat pada April.

Penggubal undang-undang AS akan kembali ke Washington minggu depan selepas rehat musim panas dan berdepan tugas bertimbun, termasuk meluluskan undang-undang untuk memastikan pembiayaan kerajaan melepasi 30 September, apabila tahun fiskal semasa berakhir.

McConnell pada masa lalu memainkan peranan penting dalam perundingan dan meluluskan bajet. Tanpa tindakan kongres, sebahagian perkhidmatan kerajaan persekutuan lumpuh pada Oktober ini.

Doktor kongres dalam satu kenyataan memaklumkan telah berunding dengan senator berkenaan dan pasukan neurologi yang menilai kejadian itu.

“Saya telah memaklumkan McConnell bahawa dia dari segi perubatan boleh meneruskan kerjanya seperti yang dirancang. Sakit kepala sekali-sekala bukan perkara biasa dalam pemulihan gegaran dan juga boleh dijangka akibat dehidrasi,” tulis doktor yang merawat, Brian Monahan.

Pejabat McConnell berkata, pemimpin berkenaan merancang untuk mengekalkan jawatannya dalam pilihan raya 2024.

Isu kesihatan McConnell timbul ketika kebimbangan orang ramai terhadap umur pemimpin AS. Senat adalah antara parlimen tertua di dunia dengan purata umur ahli parlimen melebihi 64 tahun.

Senator Demokrat AS, Dianne Feinstein, 90, tidak hadir di Senat selama berbulan-bulan awal tahun ini, selepas mengalami komplikasi akibat kayap.

Beberapa penggubal undang-undang dari Republikan dan Demokrat, meminta McConnell berundur memandangkan kebimbangan kesihatannya.

Presiden Demokrat, Joe Biden yang berusia 80 tahun merupakan pemimpin tertua menduduki Rumah Putih, berkata beliau bercakap dengan McConnell semalam.

Biden yang pernah berkhidmat dengan McConnell di Senat yakin senator berkenaan akan kembali kepada dirinya yang lama.

Saingan utama Biden dari Republikan untuk pemilihan semula tahun depan, bekas Presiden Donald Trump, berusia 77 tahun. – REUTERS

- Advertisement -