Zulkifli sudah sebati dengan aktiviti bantu masyarakat

Zulkifli Jaafar
- Advertisement -

JOHOR BAHRU: Calon PERIKATAN NASIONAL bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai, Zulkifli Jaafar berpegang kepada prinsip bahawa dalam menghulurkan bantuan mestilah tidak memilih bulu dan tanpa melihat kecenderungan politik.

- Advertisement -

Jelasnya, ini yang beliau lakukan sepanjang terlibat aktif di dalam kegiatan kemasyarakatan melalui platform badan bukan kerajaan (NGO) bagi membantu orang ramai.

“Walaupun saya aktif dalam parti Bersatu, namun saya tidak menggunakan lambang parti semasa melakukan kerja-kerja amal selama ini untuk mengelakkan rasa tidak selesa penerima bantuan.

“Dan saya cakap pada aktivis-aktivis NGO saya supaya bagi apa-apa bantuan yang kita edar tu tak kira apa parti sekalipun kita mesti bagi,” ujarnya ketika ditemui.

Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Pulai itu berkata, beliau mula terlibat aktif dalam beberapa NGO semenjak tahun 2005 lagi.

Bermula 2019 pula beliau telah menubuhkan sebuah NGO iaitu Persatuan Prihatin Muafakat Kempas Bersatu Johor Bahru selaku pengerusi sehingga kini.

NGO tersebut, katanya, aktif membantu orang ramai terutama semasa berlakunya bencana Covid-19 yang melanda negara bermula 2020.

“Di Parlimen Pulai ini kita ada banyak kategori masyarakat yang rencam, yang kaya, yang miskin, kampung, bandar dan macam-macam kategori lagi.

“Di sini juga kita ada banyak kawasan setinggan yang rata-rata golongan miskin yang memerlukan bantuan. Dan alhamdulillah kita telah banyak menyantuni mereka selama ini pun melalui NGO kita,” kata Zulkifli.

Mengulas tentang aktiviti kempen, katanya sehingga kini beliau bersama jentera kempen sudah selesai melakukan walkabout di 70 peratus kawasan parlimen tersebut.

“Kita harap dapat masuk pusingan kedua walkabout selewat-lewatnya pada 3 September ini untuk menyantuni mereka yang mungkin kita tak dapat jumpa pada pusingan pertama ni,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 1/9/2023

- Advertisement -