Referendum iktiraf Orang Asli Australia 14 Oktober

- Advertisement -

SYDNEY: Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese berkata, satu pungutan suara penting untuk meminda perlembagaan bagi mengiktiraf Orang Asli negara itu akan diadakan pada 14 Oktober ini.

Rakyat Australia akan diminta mengundi, sama ada mereka menyokong pindaan perlembagaan untuk memasukkan “Suara kepada Parlimen”, sebuah jawatankuasa Orang Asli untuk menasihati parlimen persekutuan mengenai perkara yang melibatkan Orang Asli dan penduduk Pulau Selat Torres.

- Advertisement -

Sebarang pindaan perlembagaan di Australia memerlukan referendum kebangsaan.

Idea untuk Suara kepada Parlimen datang daripada rakyat dan akan diputuskan oleh rakyat pada 14 Oktober, kata Albanese pada sidang akhbar dari Adelaide di Australia Selatan yang dilihat sebagai negeri yang berpotensi berubah dalam referendum.

“Pada hari itu, setiap warga Australia akan mempunyai peluang sekali dalam satu generasi untuk menyatukan negara kita,” katanya.

Australia tidak mempunyai perjanjian dengan Orang Asli negara itu yang membentuk kira-kira 3.2 peratus daripada hampir 26 juta penduduk dan kebanyakan berada di bawah purata kebangsaan dalam pelbagai keadaan sosio-ekonomi.

Mereka tidak disebut dalam perlembagaan walaupun mendiami bumi Australia lebih 60,000 tahun.

Walaupun disokong oleh ahli politik dan pertubuhan bukan kerajaan, tinjauan pendapat mendapati perdebatan awam mengenai isu ini menimbulkan perpecahan dan sokongan terhadap cadangan itu telah menurun dalam tempoh beberapa bulan lalu..

Penyokong berpendapat mengundi ya akan membantu memperbaiki hubungan dengan masyarakat Orang Asli dan menyatukan negara, manakala badan penasihat akan membantu mengutamakan kesihatan, pendidikan, pekerjaan dan perumahan Orang Asli.

Bagi penentang pula, tindakan itu akan memecahbelahkan rakyat Australia mengikut garis perkauman dan menyerahkan kuasa yang berlebihan kepada badan Orang Asli, manakala pihak lain menyifatkan tindakan itu hanya simbolik.

Melakukan perubahan perlembagaan adalah sukar di Australia. Referendum mesti memperoleh lebih 50 peratus undi di seluruh negara, dan sokongan daripada majoriti pengundi di sekurang-kurangnya empat daripada enam negeri.

Pada masa lalu, terdapat 44 cadangan untuk perubahan perlembagaan dalam 19 referendum dan hanya lapan diluluskan.

Dalam referendum terbaharu pada tahun 1999, rakyat Australia mengundi menentang perubahan perlembagaan untuk menjadikan Australia sebagai sebuah republik. – REUTERS

- Advertisement -