Ghazwatul Fikr: Islam dan sekularisme

- Advertisement -

DALAM ghazwatul fikr (pertempuran ideologi) di medan muwajahah silmiyyah (pertembungan secara aman melalui medan pilihan raya) negara ini, fikrah perjuangan PAS iaitu mempertahankan dan memartabatkan Islam sebagai tatacara kehidupan yang menyeluruh dalam beragama dan bermasyarakat mengikut lunas yang termaktub dalam Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan, berseteru dengan ideologi sekularisme dan sekularisasi yang meletakkan asas perjuangannya menegakkan sekularisme dalam bernegara.

Ideologi sekularisme ini secara terang dan rasmi termaktub dalam Perlembagaan DAP di samping turut dibawa oleh individu yang berada dalam parti-parti lain selain DAP.

Di negara umat Islam yang lain, siri pertempuran ghazwatul fikr antara Islam dan sekularisme banyak memihak kepada sekularisme. Teramat malang apabila sekularisme dan sekularisasi ini sanggup didukung oleh individu yang zahir agamanya Islam.

Sebagai contoh:

Di Turki antara pendukung konsep khilafah Islamiyyah dengan pendukung ideologi sekular Kemalisme, menang pendukung ideologi Kemalisme. Implikasinya, kumpulan Islam seperti Jamaah Nur ditekan sehingga menjadi terpinggir akibat dipaksa atau terpaksa mengambil sikap pasif dan berkecuali terhadap politik. Parti politik Islam yang diasaskan oleh Necmittin Erbakan meskipun pernah sampai ke tampuk kuasa, namun dalam Perlembagaan Turki terdapat akta yang melindungi prinsip Kemalisme daripada dipinda. Akibatnya Kerajaan Erbakan ini digulingkan dan partinya diharamkan. Presiden Turki sekarang Recep Tayyip Ergogan secara terpaksa menzahirkan fahaman sekular bagi partinya demi melindungi survival Islam di Turki.

Di kebanyakan negara Arab pula, sosialisme yang dibawa oleh parti Ba’ath (Saddam Hussein Iraq, keluarga Asad di Syria, Naserrisme (Gamal Abdul Naser Mesir) lebih mendominasi pemikiran masyarakat Arab yang majoritinya beragama Islam, berbanding fikrah Islam yang didukung oleh gerakan Ikhwan Muslimin.

Situasi berbeza di Iran, shi’isme (fahaman Syiah) berjaya menumpaskan monarki sekular (Shah Iran) dan mengubah orde pemerintahan mengikut sistem republik berdasarkan teori Wilayatul Faqih yang dikemukakan oleh Khomeini, meskipun teori Wilayatul Faqih ini bercanggah dengan konsep menunggu kedatangan al-Mahdi oleh kumpulan Syiah. Namun dari sudut yang lain, kumpulan Syiah mendapat kuasa politik untuk melindungi dan menyebarkan shi’isme. 

Di Arab Saudi, hasil permuafakatan politik dan gerakan fundamentalisme radikal antara Bani Saud dengan Bani Muhammad bin Abdul Wahab di samping bantuan pengaruh Barat melalui kelicikan Lawrence of Arabia menjaya menyahkan penguasaan Empayar Uthmaniyyah di bumi Hijaz dan tertubuhnya negara Arab Saudi. Walaupun Arab Saudi menjadi penaung dan penaja kepada fikrah Wahabi yang bersifat fundamentalis, namun dari sudut budaya hidup dan sikap kerajaan Bani Saud boleh dikatakan tidak menggambarkan konsep pemerintahan Islam yang mithali.

Begitu juga di Afghanistan, walaupun kumpulan Taliban berjaya menguasai sistem pemerintahan namun kurangnya fiqh waqi’ (kefahaman realiti) dalam usaha menerapkan fiqh nushush (kefahaman nas) telah menjelekkan wajah konsep pemerintahan Islam yang murni sehingga menjadi peluru Islamophobia yang digunakan oleh golongan sekular untuk menyerang kumpulan Islam.

Di negara jiran pula, kumpulan Islam berhasil diperdaya oleh Sukarno yang mengemukakan ideologi nasakom (nasionalisme, agama, komunisme) yang melahirkan konsep pancasila yang berintikan fikrah sekular sebagai asas bernegara Indonesia, sebuah negara yang memiliki jumlah umat Islam paling ramai di dunia jika dibandingkan dengan negara umat Islam yang lain.

Manakala di Malaysia, Perkara 3 yang bersifat ‘ambiguous‘ (samar, boleh membawa pelbagai tafsiran) mengakibatkan berlakunya pertembungan fikrah antara kumpulan Islam dengan kumpulan sekular.

Sekiranya dahulu isu negara Islam menjadi polemik antara PAS dan Umno yang dua-dua kumpulan ini merupakan blok utama politik umat Islam, meskipun terdapat perbezaan pandangan dari sudut pendekatan menerap dan melaksanakan ajaran Islam, namun di masa kini pertembungan terbesar di Malaysia bukan lagi antara PAS dan Umno.

Politik Malaysia pasca 2020 telah membentuk 2 blok yang didominasi oleh dua kuasa besar politik jelas bertentangan fikrah, walaupun kedua-dua blok ini mempunyai proksi kecil yang bercanggah fikrah dengan ‘mainstream’ blok mereka namun kewujudan mereka dalam blok tersebut hanya demi kepentingan survival individu dan kumpulan kecil:

Blok pertama ialah PERIKATAN NASIONAL yang ditunjangi oleh PAS yang memperjuangkan Islam sebagai tatacara hidup bernegara dan bermasyarakat, dengan disertai oleh parti BERSATU dan GERAKAN;

Blok kedua ialah Pakatan Harapan yang didominasi oleh DAP yang mendapat kerusi terbanyak dengan sokongan penuh dan padu daripada kaum bukan-Islam. Jangan dilupakan bahawa ideologi dan agenda DAP ialah sekular dan sekularisasi. 

Demi meneruskan survival mereka, Barisan Nasional yang diketuai oleh Umno lebih rela menumpang kapal besar Pakatan Harapan yang didominasi oleh DAP bagi mengharungi lautan pertempuran ghazwatul fikr antara kumpulan Islam dengan kumpulan sekular.

Sebagaimana kumpulan sekular berusaha untuk menamatkan riwayat kumpulan Islam, begitu jugalah respon kumpulan Islam menyahut cabaran ini dengan berdepan dengan serangan kumpulan sekular.

Matlamat utama perjuangan kumpulan Islam tidak lain melainkan demi Islam agar tetap menjadi agama Persekutuan Malaysia dengan tafsiran Islami.

PERIKATAN NASIONAL yang diwakili oleh kumpulan Islam sedang bertarung dengan kumpulan sekular khususnya dalam blok Pakatan Harapan. 

Tidak kira sama ada kumpulan sekular menghantar wakil mereka atau proksi mereka, kumpulan Islam tetap akan berhadapan, bertahan dan mara dalam medan ghazwatul fikr ini.

Sekiranya parti-parti politik orang Islam yang lain masih ingin fikirkan mengenai survival individu dan parti mereka, sila ketepi dan elakkan daripada menjadi proksi kumpulan sekular.

Kerana PAS melalui PERIKATAN NASIONAL akan terus membalun dan menggasak kumpulan sekular tidak kira sama ada wakil atau proksi mereka sehinggalah sekularisme dan sekularisasi ini lemah, rebah dan terkubur tanpa nisan di medan pertempuran demokrasi ini.

Ahli Umno sekiranya tak mahu Umno terkubur, gunakanlah iman dan akal kebijaksanaan yang ada pada diri anda.

Jangan salahkan lagi PAS apabila Umno sekali lagi karam dan tenggelam dalam lautan pertempuran ini, kerana medan pertempuran ini adalah antara blok PAS dan blok DAP yang kini menjadi dua kuasa besar politik di Malaysia. 

Pilihan yang ada pada Umno adalah sama ada mahu terus bersama kapal Pakatan Harapan, bersama kapal Barisan Nasional tanpa memihak kepada mana-mana blok, atau mahu menyertai perjuangan Islam bersama PAS melalui PERIKATAN NASIONAL. 

Do or die.

- Advertisement -

إِلَّا تَنصُرُوهُ فَقَدۡ نَصَرَهُ ٱللَّهُ إِذۡ أَخۡرَجَهُ ٱلَّذِینَ كَفَرُوا۟ ثَانِیَ ٱثۡنَیۡنِ إِذۡ هُمَا فِی ٱلۡغَارِ إِذۡ یَقُولُ لِصَـٰحِبِهِۦ لَا تَحۡزَنۡ إِنَّ ٱللَّهَ مَعَنَاۖ فَأَنزَلَ ٱللَّهُ سَكِینَتَهُۥ عَلَیۡهِ وَأَیَّدَهُۥ بِجُنُودࣲ لَّمۡ تَرَوۡهَا وَجَعَلَ كَلِمَةَ ٱلَّذِینَ كَفَرُوا۟ ٱلسُّفۡلَىٰۗ وَكَلِمَةُ ٱللَّهِ هِیَ ٱلۡعُلۡیَاۗ وَٱللَّهُ عَزِیزٌ حَكِیمٌ 

[at-Taubah: 40]

“Kalau kamu tidak menolongnya (Nabi Muhammad S.A.W) maka sesungguhnya Allah telahpun menolongnya, iaitu ketika kaum kafir (di Makkah) mengeluarkannya (dari negerinya Makkah) sedang dia salah seorang daripada dua (Sahabat) semasa mereka berlindung di dalam gua, ketika ia berkata kepada Sahabatnya: “Janganlah engkau berdukacita, sesungguhnya Allah bersama kita”. Maka Allah menurunkan semangat tenang tenteram kepada (Nabi Muhammad) dan menguatkannya dengan bantuan tentera (malaikat) yang kamu tidak melihatnya. Dan Allah menjadikan seruan (syirik) orang kafir terkebawah (kalah dengan sehina-hinanya), dan Kalimah Allah (Islam) ialah yang tertinggi (selama-lamanya), kerana Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.”

MUHAMMAD RIF’AAT RAZMAN
Dewan Ulamak PAS 
Kawasan Lenggong – HARAKAHDAILY 28/8/2023

- Advertisement -