Bekas bos Itali, Roberto Mancini mahu mencipta sejarah selepas dinamakan sebagai ketua jurulatih baharu pasukan kebangsaan Arab Saudi oleh persekutuan bola sepak negara itu (SAFF).
SAFF tidak memberikan butiran lanjut, tetapi media Itali melaporkan Mancini akan berlepas ke Riyadh hari ini untuk menghadiri sesi memperkenalkan dirinya dan menandatangani kontrak sehingga 2027 bernilai 25 juta Euro (AS$27 juta) setahun. Dia akan membuat penampilan sulung di bangku simpanan pada 8 September menentang Costa Rica
“Saya mencipta sejarah di Eropah, kini masa untuk mencipta sejarah dengan Saudi,” kata Mancini dalam video yang disiarkan di platform media sosial X, yang dahulunya dikenali sebagai Twitter.
Bekas jurulatih Napoli, Luciano Spalletti menggantikan Mancini sebagai bos Itali selepas dia meletak jawatan pada 13 Ogos lalu, menamatkan tempoh lima tahun mengendalikan pasukan kebangsaan dengan memenangi Kejohanan Eropah, tetapi terlepas kelayakan ke Piala Dunia.
Herve Renard dari Perancis meletakkan jawatan sebagai jurulatih Arab Saudi pada Mac lalu. Pasukan itu akan cuba memenangi kejuaraan Piala Asia keempat mereka pada kejohanan benua yang akan diadakan di Qatar, awal tahun depan.
Arab Saudi tersingkir dalam peringkat kumpulan Piala Dunia di Qatar tahun lepas, tetapi melakukan kejutan terbesar dalam sejarah kejohanan apabila menewaskan Argentina dalam perlawanan pertama, tetapi negara Amerika Latin itu kemudian muncul juara Pial;a Dunia.
Dana Pelaburan Awam Saudi (PIF) mengumumkan Projek Pelaburan dan Penswastaan Kelab Sukan yang melibatkan juara liga Al-Ittihad, Al-Ahli, Al-Nassr dan Al-Hilal, dengan sejumlah pemain terkemuka berpindah ke liga negara itu. – REUTERS
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!