Misi kebajikan MCM, dua remaja lafaz syahadah

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dua remaja melafazkan syahadah memeluk Islam semasa program cakna kebajikan Muslim Care Malaysia (MCM) Society di dua perkampungan Orang Asal dekat Tasik Banding pada 19 dan 20 Ogos lalu.

- Advertisement -

“Program menjadi lebih bermakna apabila, dua remaja perempuan Orang Asal di situ menerima hidayah untuk memeluk Islam.

“Acara melafaz syahadah dan pengislaman mereka disempurnakan Presiden MCM, Tuan Haji Zulkifli Wahijan. Alhamdulillah,” kata Timbalan Presiden MCM, Mohd Johari Ismail kepada Harakahdaily.

Menurutnya, dalam misi itu 40 sukarelawan Muslim Care Malaysia (MCM) bergerak ke dua kampung berkenaan dengan bot membelah ketenangan air Tasik Banding.

Kata beliau, objektif dan destinasinya adalah program kebajikan dan dakwah di dua penempatan Orang Asal di pinggir tasik iaitu Kampung Sungai Tiang dan Kampung Kelewang.

Katanya lagi, paras air tasik yang surut antara faktor utama memperlahankan pergerakan bot hingga perjalanan memakan masa hampir empat jam.

Namun tambahnya, segala cabaran dan kesukaran terus hilang sejurus tiba di destanasi perkampungan yang damai dan menenangkan.

Dalam misi itu, sebanyak 150 pek makanan mengandungi beras, minyak masak dan tepung serta set ibadah keseluruhannya bernilai RM15,000 diagihkan kepada penduduk di kampung Sungai Tiang dan Kampung Kelewang.

Antara aktiviti dijalankan sepanjang dua hari itu ialah sukaneka, free market di Kampung Sungai Tiang, serta pemeriksaan kesihatan oleh dua doktor perubatan yang juga sukarelawan MCM. – HARAKAHDAILY 25/8/2023

- Advertisement -