‘Isu sekolah vernakular tertakluk pada parlimen’

Mohamed Haniff Khatri Abdulla (FOTO: HARAKAHDAILY/Muhammad Zharif Zulkiflee)
- Advertisement -

PUTRAJAYA: Pihak guaman yang mewakili kumpulan pendidikan Melayu dan Islam dalam kes keabsahan sekolah vernakular di negara ini menekankan akan kepentingan institusi parlimen dalam isu sekolah vernakular yang melibatkan Perlembagaan Persekutuan.

Peguam kanan, Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata, institusi parlimen boleh membuat tindakan yang betul pada bila-bila masa berkaitan status sekolah vernakular.

- Advertisement -

“Jangan kita lupa, ini adalah isu mahkamah. Namun, bila isu berkenaan perlembagaan, pada hakikatnya ia terletak (tertakluk) pada parlimen. 

“Parlimen boleh pada bila-bila masanya membuat tindakan yang betul berkaitan perkara ini, jika mereka mempunyai kekuatan politik,” katanya yang ditemui HarakahDaily selepas sidang media Solidariti Martabat Bahasa Kebangsaan pekarangan Mahkamah Rayuan Persekutuan, Istana Kehakiman, di sini, semalam,

Menurut beliau, pihaknya perlu mengikut lunas undang-undang yang telah diperuntukkan oleh Perlembagaan. 

Namun jika tiada kekuatan politik dari para pemimpin politik, pihaknya perlu menggunakan kedudukan perlembagaan dan perundangan sedia ada untuk diimbangi oleh mahkamah.

“Apabila tidak ada kekuatan politik, maka kita perlu gunakan kedudukan perlembagaan dan perundangan supaya mahkamah imbang. 

“Ia  tak akan tamat di mahkamah, masih (bergantung)  di tangan para pemimpin politik yang patut dan wajar faham apa itu kedudukan undang-undang,” jelasnya.

Barisan peguam plantaif yang mewakili kumpulan pendidikan Melayu dan Islam pada hari perbicaraan kes samam sekolah vernakular di pekarangan Mahkamah Rayuan, Istana Kehakiman, Putraja pada 24 Ogos 2023.

Mahkamah Rayuan telah bersidang semula untuk mendengar sambung bicara hujahan oleh pihak perayu dalam kes keabsahan sekolah vernakular dan mendengar responden dari semua kes di Istana Kehakiman, semalam.

Pihak responden telah menamatkan semua hujahan mereka ketika sesi petang, namun kes terpaksa ditangguhkan kerana kesuntukan masa untuk pihak perayu membalas hujahan rayuan tersebut.

Terdahulu, Haniff Khatri yang mewakili kumpulan pendidikan Melayu dan Islam telah mengesahkan anak guamnya akan membuat rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi menolak saman difailkan mereka mengenai kewujudan sekolah vernakular.

Dalam kenyataannya pada 31 Disember 2021, beliau telah mengesahkan telah dimaklumkan pihak plaintif untuk mengemukakan rayuan di Mahkamah Rayuan. – HARAKAHDAILY 25/8/2023

- Advertisement -