Polis siasat pemilik akaun media sosial hina PM

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Polis menjalankan siasatan terhadap seorang pemilik dan pengendali akaun Facebook kerana disyaki mengeluarkan kenyataan menghina Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

- Advertisement -

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata siasatan terhadap pemilik akaun Facebook berkenaan dibuat susulan hantaran videonya pada 18 Ogos lepas.

“Pengendali akaun Facebook itu telah dipanggil ke Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian Pendakwaan dan Undang-Undang (D5), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman untuk diambil keterangan semalam bagi membantu siasatan.

Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955, Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Shuhaily berkata kes terbabit masih di peringkat siasatan dan orang ramai dinasihatkan untuk tidak membuat sebarang spekulasi atau berkongsi maklumat yang salah sehingga mengganggu proses siasatan atau menyebabkan suasana tidak harmoni dalam kalangan masyarakat.

Media hari ini melaporkan seorang aktivis masyarakat mempersoalkan tindakan Anwar mengislamkan seorang saudara baharu di Klang, Selangor baru-baru ini dan tindakannya itu menyebabkan dia dipanggil polis untuk dirakam keterangan.

Sebelum ini, tular rakaman video Anwar mengajar seorang lelaki mengucap dua kalimah syahadah dan mengundang pelbagai reaksi. – BERNAMA

- Advertisement -