HARAKATUL ummah ini dengan pergulatan panjang lebih tujuh dekad membadai lautan perjuangan, kini mengecap nikmat paling manis. Namanya tersohor dan diratib dengan nada indah mahupun gelita, kawan dan lawan ingin mengulas dengan nada yang berbeda, namun bahtera ini terus mara menggapai cita. Pasca 12 Ogos 2023, 148 orang menggalang gelaran ADUN, manakala sejak 19 November tahun lepas, 43 orang menjadi ahli parlimen. Empat buah negeri ditadbir urus manakala di seluruh negara ada wakilnya dalam DUN kecuali Sarawak. Anak muda pendukung dominan dalam arus kebangkitan ini dan akhirnya penulis yakin rejim pragmatis liberal penguasa negara ini akan tersungkur menyembah bumi.
Personaliti insan boleh berubah atau pun keinginan untuk membaiki diri pastinya di dua kutub yang berseberangan, mobiliti sosial menyebabkan manusia berubah sama ada sikap atau pun orientasi cara berfikir, gaya hidup, tendensi, pengaruh sosial, pameran intelektual atau apa sahaja angkubah kehidupan yang subjektif. “Yang berhormat” adalah manusia bukan malaikat tak bersayap, bukan ar Rasul yang dilindungi Yang Maha Esa lagi Maha Perkasa.
Menjadi anggota legislatif, eksekutif atau pun menggalang tugas di badan berkanun, GLC pastinya memberikan abnaul harakah banyak kelebihan duniawi serta insentif yang menggiurkan. Pancingan dunia tak semudah membilang angka atau berlabun di kedai kopi atau serambi surau.
Dalam erti kata lain atau korpus kehidupan baru ini, pemegang jawatan akan terpandang setelah menapak dalam takah-takah baru hierarki sosial yang memancing pesona bahkan mengundang musuh luaran dan dalaman organisasi. Jawatan yang digalang pastilah disertai dengan mempunyai gaji, insentif kewangan yang pelbagai, elaun yang rencam, tarikan pengaruh serta kuasa “menggertak” yang halus atau intimidasi, keluasan penghormatan dalam harkat sosial dan pelbagai kemudahan lain yang mengiringi kuasa anda.
Tak mudah menangani sikap manusia apabila menggenggam secubit kuasa sebagaimana ungkapan Abraham Lincon “untuk mengenal seseorang, lihatlah selepas mereka berkuasa”. Namun dengan kuasa juga kita akan meraih kelebihan akhirat, menuai ladang pahala yang besar di dunia yang akan berterusan kita hidup kelak namun ianya hanya akan dapat dicapai jika kita semua melaksanakan amanah yang diberikan serta melakukannya dengan ikhlas.
Menjadi YB atau bukan YB namun mempunyai kuasa dalam wilayah pengaruh yang tersendiri (memegang jawatan dalam GLC, badan berkanun, pegawai lantikan politik) boleh menjadikan kita semua berubah tanpa sedar atau secara sedar, namun kerana segunung rasa ego kita tak mengubati penyakit jiwa ini, akhirnya mencapah menjadi pandemik dalam jamaah.
Penyakit ini mudah bersarang dan wajib diubati sedari awal kerana ianya akan membina konotasi negatif rakyat, apatah lagi abnaul harakah yang setia mendukung jamaah ini.
YB dan mereka yang menggalang secubit kuasa akan ‘over’ sensitif terhadap setiap kritikan terhadap diri dan lingkungan, tak sedikit para YB dan yang mengelilingi YB akan menjawab semua kritikan itu dengan ‘hujah’ yang keras tak bersahabat pada pandangan kelompok mereka. Bahkan ada yang akan menyindir para pengkritik dengan dengan beberapa bentuk sindiran peribadi, mencipta musuh baru yang tak perlu. Ironinya lebih teruk lagi, YB dan lingkungannya akan memusuhi setiap pengkritik, sama ada dalam lingkungan warna politik yang sama atau di luar lingkungan politik mereka.
Sejujurnya perubahan landskap politik negara beberapa tahun ini juga turut menyebabkan berlakunya mobiliti sosial kepada sebahagian pimpinan PAS. Anjakan harkat sosial kadang kala paralel dengan perubahan gaya hidup dan cara berfikir manusia. Ahli-ahli melihat serta mereka berhak untuk menegur kerana merekalah yang berkeringat membangunkan bangunan jamaaah ini.
Penulis teringat akan sosok almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz dalam menangani sikap dan tarikan pesona kepada mandraguna kuasa dan kekuasaan. Apabila PAS memenangi Kelantan dalam PRU 1990, almarhum sentiasa memerhatikan cara hidup pimpinan PAS Kelantan saat itu. Almarhum dengan seribu keteladanan, ‘walk the talk’, arca berdiri jamaah.
Ingatan dalam usrah qiadi, agar jangan bermegah dan bermewah. Menjadi pimpinan adalah pelayan rakyat, jangan rakus membesarkan rumah kediaman, menukar kenderaan mewah, menambah koleksi bini, berwisata keluar negara dengan keluarga dalam keadaan rakyat mengikat perut.
Almarhum Ayah Ziz memberikan cadangan kepada pimpinan agar mengamalkan puasa sunat Isnin dan Khamis dengan istiqamah. “Kita ni, kalau makanan halal pun kita tak makan, takkan makanan haram kita akan makan” pesannya lirih kepada para pimpinan.
Kurikulum tersembunyi daripada puasa sunat Isnin dan Khamis begitu sekali menatijahkan impak besar kepada pimpinan kerajaan Kelantan. Selama tiga dasawarsa, PAS memerintah Kelantan tanpa adanya sabitan kes SPRM. Puasa sunat menghancurkan obsesi kuasa, menjadikan jasad sihat serta menyelimutkan akhlak mulia kepada pengamalnya. Almarhum Tuan Guru sentiasa berpesan agar pimpinan agar melazimi qiamullail, solat duha, solat witir, memperbanyakkan sedekah, berselawat dan solat berjemaah di masjid dan balaisah.
Dua tahun yang yang lalu, ada satu peristiwa yang menggamit relung hati kami apabila Tuan Guru Presiden PAS yang kami mesrai dengan panggilan Ayah Chik berpesan kepada semua menteri, timbalan menteri dan seluruh pimpinan agar menjaga cara hidup. Ingatan itu terus juga diberikan dalam pelbagai program dalaman PAS kepada anggota legislatif.
Murabbi ini tidak mahu meletakkan dirinya dalam barisan Kabinet, beliau memantau anak-anak buah bekerja dalam Kabinet. Pesan Ayah Chik agar semua pimpinan PAS kena pastikan isteri dijaga dengan baik, tidak menunjuk-nunjuk kepada orang kampung. Memperagakan kekayaan adalah sikap yang jelek, apatah lagi kepada pimpinan Gerakan Islam.
Suasana bening seketika, seolah memotong keseronokan kami bermesyuarat di era kemenangan, era tamkin yang mempersona dan menggiurkan sukma. ‘Potong stim’ kata anak-anak muda namun itulah Ayah Chik kami, dia sentiasa berpesan dan mengingatkan kita semua tentang hala tuju kehidupan selepas mati. Itulah kelebihan PAS, perjuangan ini bukan sekadar menang dalam pilihan raya, impaknya menjangkau ukhrawi yang kekal abadi.
Ayah Chik menarik nafas yang bergelombang, “hargai anak-anak buah, pengikut kerana ada yang hidupnya susah berjuang”…bergetar suara dan sebak Ayah Chik, suara kembali lirih sambil mengesat mata dengan tisu seputih salju yang dikeluarkan daripada kotak di atas meja. Allahu, saat ini akan kukenang sampai kapan pun. Ingat semua YB-YB PAS, pegawai-pegawai lantikan politik, insan yang mendapat laba setelah fasa kemenangan ini. Jangan membina jarak dengan anak buah, jangan membina lingkungan sosial eksklusif sehingga ada tembok kaca dengan anak buah. Baiki amal ibadah dengan serius dan ambil masa untuk bercermin diri.
Kami semua diam tak berkutik diingatkan oleh murabbi Presiden. Jawatan bukan kemuliaan namun ianya satu tanggungjawab, ada kira bicara di akhirat di samping ahli-ahli jamaah melakukan observasi kerana sayangnya mereka kepada PAS melebihi diri mereka sendiri.
Moga kuasa dan kekuasaan tidak menggerus keperibadian pimpinan PAS. “The power is sweet” ujar politikus tanpa kitab, mandraguna kuasa adalah sangat menggerunkan. Untuk YB, pandanglah ahli -ahli di bawah dengan kasih sayang dan rasa cinta yang tak padam. Teguran adalah cerminan rasa kasih bukan kerana rasa dengki. – HARAKAHDAILY 22/8/2023
Penulis ialah AJK PAS Pusat, Pengerusi LESTARI.