AS lulus penghantaran F-16 ke Ukraine

- Advertisement -

WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) meluluskan penghantaran jet pejuang F-16 ke Ukraine dari Denmark dan Belanda untuk menghadapi Rusia sebaik sahaja latihan juruterbang selesai.

Ukraine secara aktif berusaha mendapatkan jet pejuang F-16 buatan AS untuk membantu negara itu mengatasi keunggulan penguasaan udara Rusia.

- Advertisement -

Washington memberi jaminan rasmi kepada Denmark dan Belanda bahawa AS akan mempercepatkan kelulusan permintaan pemindahan F-16 ke Ukraine apabila juruterbang dilatih.

Denmark dan Belanda baru-baru ini, meminta jaminan tersebut berikutan AS mesti meluluskan pemindahan jet tentera dari negara sekutu ke Ukraine.

Gabungan 11 negara dijangka memulakan latihan juruterbang Ukraine untuk menerbangkan jet pejuang F-16 bulan ini di Denmark. Pemangku Menteri Pertahanan Denmark, Troels Poulsen berkata pada Julai lalu, bahawa negara itu berharap untuk melihat hasil daripada latihan pada awal 2024.

Anggota NATO, Denmark dan Belanda mengetuai usaha antarabangsa untuk melatih juruterbang serta kakitangan sokongan, menyelenggara pesawat dan akhirnya membolehkan Ukraine mendapatkan F-16 untuk digunakan dalam peperangan dengan Rusia.

Setiausaha Negara AS, Antony Blinken menghantar surat kepada rakan sejawatannya dari Denmark dan Belanda untuk meyakinkan mereka bahawa permintaan itu akan diluluskan, kata pegawai AS.

“Saya menulis untuk menyatakan sokongan penuh AS untuk kedua-dua pemindahan pesawat pejuang F-16 ke Ukraine dan untuk latihan juruterbang Ukraine oleh pengajar F-16 yang berkelayakan,” kata Blinken dalam surat kepada kedua-dua pegawai itu.

Blinken berkata: “Ia tetap kritikal bahawa Ukraine dapat mempertahankan dirinya daripada pencerobohan Rusia yang berterusan dan pencabulan kedaulatannya.”

Beliau berkata, kelulusan permintaan itu akan membolehkan Ukraine memanfaatkan sepenuhnya keupayaan baharunya sebaik sahaja juruterbang menamatkan latihan mereka.”

Presiden AS, Joe Biden menyokong program latihan untuk juruterbang Ukraine menggunakan F-16 pada Mei lalu. Sebagai tambahan kepada latihan di Denmark, sebuah pusat latihan akan ditubuhkan di Romania. – REUTERS

- Advertisement -