Kemenangan PN ‘tiket’ untuk tegur kerajaan Persekutuan

Mohd Syihabuddin Mohd
- Advertisement -

SERI KEMBANGAN: Kemenangan PERIKATAN NASIONAL (PN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) 2023 boleh dijadikan sebagai ‘tiket’ dalam menegur kerajaan Persekutuan untuk melaksanakan polisi ekonomi yang lebih baik di negara ini.

Pegawai Perubatan Klinik Medinna, Dr. Mohd Syihabuddin Mohd berkata, kerajaan Persekutuan seharusnya peka dalam pembinaan kekayaan ekonomi yang bersifat mampan (sustainable) yang menguntungkan pelbagai rakyat. 

- Advertisement -

“Apa yang saya lihat ialah kebaikan kemenangan PN dalam PRN baru-baru ini, khususnya di Kelantan, Terengganu dan Kedah dapat sedikit sebanyak mempengaruhi dasar kerajaan Persekutuan dalam menentukan sistem ekonomi yang lebih stabil,” katanya.

Beliau yang juga merupakan pelajar semester terakhir Sarjana Ekonomi Universiti Putra Malaysia (UPM) dikenali dengan panggilan ‘Dr. Din Kapak’ menyatakan bahawa kerajaan perlu membina ekonomi rakyat dengan umpamanya menjadikan perniagaan sebagai satu budaya yang perlu diamalkan khususnya oleh golongan rakyat B40.

Ini kerana menurut beliau, asas kepada kestabilan ekonomi ialah titik temu (equilibrium) antara bekalan dengan permintaan, yang mana jika kerajaan tidak menetapkan polisi ekonomi yang betul, ia boleh menyebabkan berlakunya kegagalan pasaran (market failure) seperti mana berlakunya isu doktor kontrak sekarang  ini walaupun permintaan terhadap pekerjaan tersebut masih tinggi. 

“Oleh sebab itu, menggalakkan budaya perniagaan terhadap rakyat B40 khususnya adalah jauh lebih baik daripada terlalu memanjakan rakyat dengan memberikan bantuan-bantuan wang secara berlebihan,” tegasnya kepada HarakahDaily.

Menurut beliau lagi, dengan cara sebegini kerajaan sama ada peringkat negeri mahupun persekutuan dapat menjadikan negara Malaysia sebagai antara negara yang sangat produktif seperti Korea Selatan.

“Maka, untuk melakukan sedemikian,  jangan sesekali hanya menerapkan sebarang  polisi ekonomi yang hanya luarannya sahaja tampak bagus tetapi hakikatnya ‘makan diri sendiri’ seperti mana apa yang berlaku pada masa ini,” hujahnya. 

Sehubungan itu, beliau turut memuji satu daripada contoh idea ekonomi yang bagus dilakukan oleh Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang iaitu dengan meletakkan tukun batu laut yang diperbuat daripada konkrit dan simen untuk diletakkan ke dalam laut bagi dijadikan sebagai habitat kehidupan laut. 

“Melalui kaedah sebegini, walaupun kos rendah tetapi ia sangat efektif dan saya merasakan idea-idea sebegini perlu diberikan galakkan oleh kerajaan daripada memberikan subsidi semata-mata,” katanya.

Tambah beliau, mana-mana parti politik perlu mengurangkan apa sahjaja sentimen-sentimen yang bersifat sensitif seperti isu perkauman, lebih-lebih lagi setelah tamatnya PRN. 

“Ini kerana fokus utama yang perlu diberikan perhatian ialah produktiviti yang mana sekalipun berlakunya sebarang skandal politik ,maka ia tidak perlu dinaikkan sebagai isu utama, 

“Cuba kita lihat debat antara Ahli Parlimen Bachok, Syahir Sulaiman dengan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli yang mana pelbagai polisi ekonomi dapat membuka minda kedua-dua belah pihak; dan saya berharap debat sebegini perlu diadakan lagi pada masa depan,” katanya. 

Sementara, ujarnya lagi, buat rakyat biasa termasuklah dalam kalangan penyokong mana-mana parti politik di negara ini, beliau menegakan rakyat perlu memainkan peranan yang penting. 

“Ini kerana mana-mana parti politik menang dalam apa jua pilihan raya tidak akan menambahkan pendapatan kita sendiri.

“Maka, rakyat perlu kena sentiasa bergantung kepada usaha sendiri juga dalam meningkatkan pendapatan sedia ada dan elakkan menambah apa sahaja hutang, lebih-lebih lagi dalam keadaan ekonomi pada masa ini,” katanya.  – HARAKAHDAILY 15/8/2023

- Advertisement -