Tidak diberi cuti punca peratusan mengundi rendah

Ustaz Muhammad Fauzi Yusoff
- Advertisement -

TASEK GELUGOR: Peratusan keluar mengundi yang rendah pada pilihan raya negeri di Pulau Pinang memandangkan sebahagian pengundi terpaksa bekerja dan tidak mendapat cuti daripada majikan.

- Advertisement -

Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Ustaz Muhammad Fauzi Yusoff berkata, beliau menerima rungutan orang ramai yang terpaksa berkejar masa dari tempat bekerja untuk segera pulang ke pusat mengundi.

“Situasi peratusan keluar mengundi pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 untuk DUN tidak sama trend ketika PRU ke-15 peringkat parlimen. Pada waktu itu kerajaan negeri memberi cuti khas sempena PRU Parlimen.

“Namun kali ini tidak diberi cuti menyebabkan mereka yang bekerja hari ini tidak dapat keluar mengundi. Ada yang baru sampai ke pusat mengundi selepas tersangkut dalam kesesakan lalu lintas,” katanya.

Beliau ditemui di pusat mengundi Sekolah Menengah Kebangsaan Permatang Tok Jaya, dekat sini hari. Beliau merupakan calon PERIKATAN NASIONAL (PN) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Dua.

Muhammad Fauzi juga berkata, sikap kerajaan PH-BN yang tidak prihatin dan tidak profesional kerana tidak mengambil kira masalah rakyat yang mahu keluar mengundi.

Katanya juga ia menunjukkan sikap kerajaan yang takut kepada sokongan anak muda yang menyokong PN.

“Saya berharap dalam waktu yang agak suntuk berbaki sejam dari sekarang, saya amat berharap lebih ramai keluar mengundi,” katanya.

Pulau Pinang antara negeri yang tidak diumumkan cuti khas sempena hari mengundi untuk pilihan raya umum peringkat DUN.

Suruhanjaya Pilihan Raya memaklumkan sehingga jam 4 petang peratusan keluar mengundi di Pulau Pinang mencatatkan 67 peratus. – HARAKAHDAILY 12/8/2023

- Advertisement -