Pengundi di Selangor bersemangat keluar awal mengundi

Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi
- Advertisement -

GOMBAK: Pengundi di Selangor didapati bersemangat apabila ramai yang keluar mengundi pada sebelah pagi memandangkan keadaan cuaca agak cerah.

Kerusi yang disediakan mengikut saluran oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) didapati semua penuh.

- Advertisement -

Tinjauan HarakahDaily bermula jam 7.20 pagi di pusat pengundian Dewan Orang Ramai, Taman Gombak mendapati orang ramai sudah memenuhi kerusi yang disediakan.

Ketika ditemui mereka gembira dengan perubahan yang dilakukan SPR dengan menyediakan kerusi mengikut saluran di bawah khemah.

Manakala ruang proses pengundian juga berada di tempat yang selesa, iaitu khemah bertutup dan berhawa dingin.

Bermula jam 7.30 pagi hingga 8 pagi, kerusi di semua bermula di saluran 1, 2, 3, 4, 5, 6 dan 7 telah penuh.

Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gombak Setia menyaksikan persaingan tiga penjuru di antara Pakatan Harapan (PH), PERIKATAN NASIONAL (PN) dan bebas.

Calon PN, Muhammad Hilman Idham merupakan penyandang kerusi tersebut dicabar Pengerusi Umno Selangor, Datuk Megat Zulkarnain Omardin dan calon bebas, Mohamed Salim Mohamed Ali.

Manakala di DUN Sijangkang di Kuala Langat, penyandang Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi mengundi jam 8.45 pagi di Sekolah Rendah Agama (SRA), Sijangkang.

Ustazah Nuridah bersama tiga anak muda yang keluar awal mengundi. Hadir sama Ketua Assabiqat Pusat, Hajah Khadijah Mahmood.

Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia, Ustazah Nuridah Mohd Salleh, ketika ditemui selepas mengundi bersyukur kerana keadaan di tempat mengundi lebih teratur dengan susunan kerusi.

“Kita harap ada kesedaran dalam kalangan masyarakat terutamanya orang Melayu tentang kepentingan mengundi.

“Ini adalah tanggungjawab bagi setiap individu tanpa mengira agama dan bangsa. Saya ucapkan tahniah kepada anak muda yang datang awal, begitu juga Assabiqat untuk mengundi,” katanya. – HARAKAHDAILY 12/8/2023

- Advertisement -