Cuaca buruk, pejabat kerajaan AS ditutup

- Advertisement -

WASHINGTON: Pejabat kerajaan Amerika Syarikat (AS) di kawasan Washington DC ditutup awal semalam kerana cuaca buruk ketika pihak berkuasa kaji cuaca memberi amaran kepada orang ramai di seluruh timur AS mengenai kemungkinan berlaku puting beliung, angin yang merosakkan dan hujan batu besar.

Menurut laman web penjejakan PowerOutage.us, ribut petir yang bergerak pantas dan angin kencang menumbangkan pokok dan memadamkan bekalan elektrik membabitkan hampir 200,000 rumah dan perniagaan di Maryland dan Virginia.

- Advertisement -


Sebanyak 800,000 pelanggan terjejas akibat gangguan bekalan elektrik di negeri selatan dan pertengahan Atlantik.

Amaran banjir pantai kekal berkuat kuasa untuk Washington sehingga 4 pagi. Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan berkata, lebih 29.5 juta orang dari Alabama ke barat negeri New York berisiko dilanda puting beliung semalam, tetapi tidak ada yang dilaporkan setakat 9 malam.

Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) mengarahkan penerbangan berlepas dihentikan di lapangan terbang di New York, Washington, Philadelphia, Atlanta dan Baltimore kerana ribut petir.

Perpustakaan, muzium, zoo, kolam renang dan perkhidmatan perbandaran dan persekutuan lain di kawasan Washington juga ditutup awal. Pejabat Pengurusan Kakitangan AS berkata, pekerja persekutuan perlu meninggalkan tempat kerja selewat-lewatnya jam 3 petang.

FlightAware, portal penjejakan penerbangan, berkata lebih 2,600 penerbangan AS dibatalkan, termasuk 102 di Lapangan Terbang Nasional Washington Reagan dan 35 di Washington Dulles. 7,700 lagi penerbangan AS telah ditangguhkan. – REUTERS

- Advertisement -