DALAM mengejar arus kemajuan selari dengan slogan Terengganu Maju, Berkat dan Sejahtera (TMBS), prinsip-prinsip dan nilai-nilai Islam tidak diketepikan.
Setiap tawaran yang dikemukakan berasaskan kerangka kerja pematuhan syariah di mana setiap pelaksanaan tawaran dalam manifesto akan memberi impak dan nilai yang selari dengan tuntutan Islam.
Meneruskan kecemerlangan pentadbiran menerusi Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS) 2030, PAS Terengganu telah membangun dan memformulasikan manifesto ini dengan mengambil kira inklusiviti dan keterangkuman segenap lapisan dan peringkat kehidupan rakyat.
Dengan menggunakan metodologi reka bentuk berpaksikan rakyat (CCD – Citizen Centric Design) akan memastikan tiada rakyat atau individu yang terpinggir daripada menerima tawaran yang akan dikemukakan.
Pendekatan ini melihat dan mendalami semua peristiwa, keadaan dan masalah yang dihadapi rakyat dalam kitaran kehidupan bermula dari kelahiran hingga ke hari tua.
Pengenalan
Rakyat telah memberi mandat kepada PAS untuk mentadbir Negeri Terengganu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Menerusi mandat ini, PAS telah memenuhi janji dengan melaksanakan 20 janji manifesto kepada rakyat.
Dokumen PITAS 2030 telah rasminya menjadi hala tuju Terengganu menjadi negeri Maju Berkat Sejahtera menjelang 2030.
Di fasa pemulihan, kerajaan di bawah pimpinan PAS telah membuat pengukuhan dan menjajarkan inisiatif-inisiatif kerajaan terdahulu di samping meneroka dan meletakkan beberapa asas yang penting ke arah dasar dan matlamat PITAS 2030.
Menuju kepada PRU15, PAS negeri melangkah ke fasa kedua iaitu fasa pembangunan bagi merancakkan lagi Terengganu menjadi Negeri Maju Berkat Sejahtera menjelang 2030.
Dalam pada itu, 20 manifesto PRU14 lalu terus berjalan.
Ringkasan 10 tawaran utama menerusi manifesto yang merangkumi tiga teras, tujuh tunjang dan 69 tawaran itu.
Tawaran 1: Menyediakan kemudahan pinjaman pembelian motosikal secara qardul hasan (tanpa riba) untuk kerjaya anak muda maksimum RM4,000.
Perincian tawaran
Tawaran ini adalah berbentuk pinjaman secara qardul hasan iaitu pinjaman tanpa faedah (riba) untuk pembelian motorsikal maksimum RM 4,000.
Pinjaman ini hanya dikhususnya kepada golongan belia berkerjaya yang tidak berkemampuan untuk membeli motorsikal untuk keluar bekerja.
Sasaran itu melibatkan belia B40 dan elia yang baru memulakan pekerjaan dan tidak berkemampuan untuk memberi motosikal.
Impak kos
50 orang setiap Dun (50 x 32 = 1,600 orang)
RM4,000 x 1,600 orang = RM6.4 juta setahun
Tawaran 2: Menyediakan khairat kematian sebanyak RM500 untuk setiap kematian
Tawaran ini adalah berbentuk bantuan one-off untuk keluarga si mati sebagai bantuan awal sebanyak RM500.
Tawaran ini bertujuan untuk meringankan keluarga si mati bagi menguruskan jenazah.
Sasarannya ialah keluarga si mati (tanpa mengira status kedudukan).
Impak kos
RM500 x 7,000 (purata kadar kematian rakyat Terengganu setahun) = RM3.5 juta setahun
Tawaran 3: Menyediakan Tabung Geran Usahawan Belia sebanyak RM5 juta setahun kepada belia yang baru memulakan perniagaan
Impak kos
RM5,000 x 1,000 belia = RM5 juta
Tawaran ini adalah berbentuk geran kepada belia sebagai modal permulaan untuk perniagaan.
Tawaran ini bertujuan untuk membantu belia memulakan perniagaan khususnya dalam Perusahaan Mikro, Kecil Sederhana (PKMS).
Anggaran modal yang diberikan adalah sekitar RM3,000 hingga RM5,000 berdasarkan perancangan perniagaan yang dibentangkan kepada agensi yang terlibat.
Sasaran melibatkan 1,000 orang belia yang berminat dengan aktiviti keusahawanan setiap tahun.
Tawaran 4: Menyiapkan jalan raya pantai Terengganu kepada dua lorong (dual carriageway) dari Kemaman ke Besut.
Tawaran ini merupakan tawaran PAS semenjak PRU13 lagi.
Tawaran ini adalah untuk merancakkan ekonomi rakyat setempat khususnya pelancongan dan produk keusahawanan rakyat.
Setakat ini, kerajaan terdahulu telah menyiapkan jalan raya pantai dari Kemaman ke Kuala Terengganu.
Kita akan memberi komitmen untuk mendesak kerajaan persekutuan untuk menyiapkan jalan raya pantai dari Kuala Terengganu ke Besut sekitar 113 km.
Projek ini boleh dijalankan menerusi bajet di bawah RMK-12 atau di bawah projek ECER-DC.
Impak kos adalah RM250 muta mengguna pakai bajet persekutuan.
Sasaran membabaitkan pengusaha pelancongan, petani dan usahawan serta rakyat awam.
Tawaran 5: Menaja Caruman Skim Keselamatan Sosial (PERKESO) untuk suri rumah.
Tawaran ini adalah berbentuk caruman yang dikeluarkan oleh pihak kerajaan kepada suri rumah Terengganu.
Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) merupakan skim yang telah diperkenalkan oleh PERKESO pada 1 Disember 2022.
Skim ini bertujuan untuk menyediakan perlindungan keselamatan sosial kepada golongan suri rumah daripada bencana domestik dan keilatan semasa menguruskan rumah tangga.
Mengikut data PERKESO, jumlah suri rumah Terengganu adalah sekitar 30,000 orang.
Kos yang perlu dibayar untuk setiap suri rumah adalah sebanyak RM120 setahun (RM10 sebulan).
Perlindungan yang diberikan adalah bencana domestik dan keilatan seperti hilang upaya kekal, dialisis, kematian dan lain-lain.
Impak kos
RM120 x 30,000 suri rumah = RM3.6 juta
Sasarannya membabitkan semua suri rumah Terengganu.
Tawaran 6: Tabung bantuan pertanian, penternak dan nelayan sebanyak RM10 juta setahun.
Tawaran ini adalah berbentuk kebajikan kepada petani, penternak dan nelayan.
Terengganu merupakan negeri pertama yang menubuhkan Tabung Bencana Pertanian bermula pada tahun 2020 dengan peruntukan sebanyak RM1 juta setahun.
Tabung ini bertujuan untuk membantu petani, penternak dan nelayan yang berdepan dengan musibah bencana yang di luar jangka iaitu bencana alam seperti banjir, ribut, ombak besar, petir, tanah runtuh, wabak penyakit, binatang buas dan haiwan meliputi tiga sektor iaitu perternakan, pertanian dan perikanan.
Memandangkan peruntukan yang disediakan tidak mencukupi untuk membantu tiga sektor ini, maka bantuan Tabung Bencana Pertanian ini akan diangkat menjadi RM10 juta setahun.
Impak kos ialah RM10 juta setahun.
Sasaran tawaran ini ialah kepada petani, perternak dan nelayan.
Tawaran 7: Mewujudkan pusat tafaqquh fiddin (pusat pemahaman agama) di setiap daerah.
Tawaran ini adalah tawaran berbentuk penekanan pendidikan sepanjang hayat untuk meningkatkan kefahaman agama kepada rakyat negeri Terengganu.
Kerajaan Terengganu telah membuka Pusat Tafaqquh fi Al-Din Tok Sheikh Pulau Duyong sebagai pusat pengajian turath yang dikhususkan untuk para penuntut ilmu dari Nusantara. Setakat ni terdapat 20 pelajar termasuk tiga pelajar Nusantara.
Kerajaan Terengganu telah meluluskan pembinaan pondok tetap di Taman Tamadun Islam yang menelan belanja RM20 juta.
Bagi merancakkan lagi budaya menuntut ilmu dalam masyarakat, dicadangkan untuk dikembangkan Pusat Tafaqquh fi al-Din di setiap daerah.
Pusat ini akan dibangunkan dengan kerjasama masjid masjid terpilih di setiap daerah mengikut kesesuaian
Impak kos
RM100,000 x 8 = RM800,000.
Sasaran membabitkan petani, perternak dan nelayan.
Tawaran 8: Menjadikan Terengganu sebagai negeri pengeluar makanan negara dengan menyediakan peruntukan sebanyak RM100 juta.
Tawaran ini adalah berbentuk kebajikan, pembangunan ekonomi dan pembinaan infra dalam merancakkan aktiviti pengeluaran hasil pertanian, penternakan dan perikanan Negeri Terengganu
Kerajaan Terengganu telah melancarkan Pelan Strategik Pertanian Terengganu 2019-2023 bagi memastikan keterjaminan makanan berterusan serta menjadikan aktiviti pertanian sebagai perniagaan yang menarik dan menguntungkan.
Terengganu juga telah melancarkan Projek Gedung Pengeluaran Makanan Terengganu (GPMT) yang mampu menjana pelaburan awam dan swasta RM717 juta.
Untuk merancakkan lagi akviti pertanian ini, RM100 juta setahun akan diperuntukkan bagi memastikan Terengganu menjadi pemain utama dalam pengeluaraan makanan negara.
Antara perincian aktiviti atau projek yang akan dijalankan ialah seperti tabung bantuan pertanian, perumahan penempatan semula nelayan, program pemulihan tanah terbiar, pembinaan kilang makanan ternakan, memperkayakan sumber perikanan, pembangunan infrastruktur tanah pertanian dan pelbagai lagi.
Impak kos sebanyak RM100 juta setahun yang menyasarkan golongan petani, perternak dan nelayan.
Tawaran 9: Membina Masjid Pintar (smart township mosque) yang berfungsi sebagai pusat sehenti (one stop centre) lengkap dengan fasiliti merangkumi ekonomi, sukan dan rekreasi, pendidikan, sosial dan komuniti, serta kesihatan dan kebajikan.
Tawaran ini adalah berbentuk pembangunan sebuah masjid baharu.
Masjid ini akan akan merangkumi:
Ekonomi – dataran perniaga, kiosk, khidmat guaman.
Sukan dan rekreasi – pusat riadah dan rekreasi untuk pelbagai usia.
Pendidikan – sekolah agama, perpustakaan.
Sosial dan komuniti – pusat khidmat, dewan komuniti.
Kesihatan dan kebajikan – pusat kesihatan, gerobok rezeki, pusat agihan bantuan kebajikan.
Masjid ini akan mampu menampung jemaah sekitar 1,000 hingga 3,000 jemaah.
Impak kos adalah RM200 juta untuk seluruh rakyat.
Tawaran 10: Meningkatkan peluang pekerjaan menerusi pemberian insentif pengembangan perniagaan kepada peniaga yang ingin membuka cawangan perniagaan di Terengganu.
Tawaran ini adalah untuk pembangunan ekonomi setempat dan menambah peluang pekerjaan dalam kalangan rakyat Terengganu.
Antara insentif yang boleh diberikan dalam pengecualian sewaan di premis kerajaan dan pemberian pinjaman khas untuk usahawan yang ingin membuka cawangan di Terengganu.
Tawaran ini amat digalakkan kepada usahawan di perantauan dan dalam negeri untuk merancakkan peluanga pekerjaan di Terengganu.
Dana peminjaman boleh diuruskan oleh Yayasan Pembangunan Usahawan menerusi peruntukan yang sedia ada.
Impak kos dengan mengguna pakai peruntukan sedia ada yang menyasarkan golongan belia dan usahawan. – HARAKAHDAILY 8/8/2023