Bendera simbol perjuangan disanjung sejak zaman Rasulullah SAW

- Advertisement -

KANGAR: Bendera atau panji adalah simbol kenegaraan atau perjuangan yang disanjung tinggi sejak zaman Rasulullah SAW, kata Menteri Besar Perlis Mohd Shukri Ramli.

- Advertisement -

Beliau berkata panji juga dapat membangkitkan semangat keimanan dan pengorbanan kepada negara.

“Jalur Gemilang perlu dikibar dan tidak wajar dibuat sesuka hati dan bagi mereka yang mempunyai semangat patriotik sanggup menggadai nyawa bagi menjaga maruah negara,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri Perlis di sini hari ini.

Mohd Shukri berkata jika dilihat para sahabat Nabi Muhammad SAW syahid (terkorban perjuangkan Islam) kerana mempertahankan panji Islam.

Katanya antara kisah para sahabat ialah Mus’ab bin Umair ketika perang Uhud tetap menjulang panji Islam walaupun sebelah tangannya dipotong oleh tentera musuh.

“Beliau masih bersemangat merapatkan kedua-dua lengannya bagi menahan panji di dadanya  daripada jatuh ke tanah walaupun kedua-dua tangannya dipotong,” katanya.

Mohd Shukri berkata beliau menyeru rakyat Perlis menghormati Jalur Gemilang yang menjadi simbol negara ini dengan menjaganya sebaik mungkin.

“Jika lihat Jalur Gemilang jatuh ke atas tanah maka segeralah angkat kerana ia adalah maruah negara,” katanya.

Beliau juga menyeru rakyat negeri ini agar memasang Jalur Gemilang di kediaman masing-masing sebagai kebersamaan dan cintakan negara ini. – BERNAMA

- Advertisement -