KUALA PILAH: Beberapa orang pimpinan Umno peringkat cawangan di bahagian Kuala Pilah mengumumkan sokongan terhadap PERIKATAN NASIONAL (PN).
Sokongan ini dinyatakan secara terbuka oleh Naib Ketua Cawangan Umno Kampung Cheriau, Mahadi Ishak dalam ceramah kempen pilihan raya di DUN Pilah, di sini, malam tadi.
Dalam nada sebak beliau berkata bahawa tindakan itu adalah terjemahan kepada perjuangan dan pengorbanan mereka demi bangsa dan agama.
“Dengan ini kami daripada Cawangan Umno Kampung Cheriau dan Kampung Parit mengisytiharkan sokongan terhadap parti PERIKATAN NASIONAL tanpa berbelah bahagi bagi menghadapi PRN tidak lama lagi.
“Ini adalah kerana Allah itu matlamat kami, Rasul ikutan kami, Al Quran perlembagaan kami, jihad jalan kami, dan mati dalam menegakkan agama Allah adalah cita-cita kami paling utama,” ujar beliau sambil disambut laungan takbir oleh para hadirin.
Mahadi menzahirkan sokongan itu bersama-sama dengan 12 orang lagi ahli cawangannya.
Selain Mahadi, turut menzahirkan sokongan ialah Syed Ahmad Arafat yang merupakan Naib Ketua Pemuda Cawangan Kampung Parit bersama-sama dengan 20 orang pengikutnya yang terdiri daripada anak-anak muda.
Mereka turut menyerahkan memorandum sokongan yang diterima oleh Timbalan Pengerusi PERIKATAN NASIONAL Negeri Sembilan yang juga merupakan calon parti itu bagi DUN Pilah, Cikgu Rafiei Mustapha.
Program ceramah yang berlangsung di Bilik Gerakan Utama PERIKATAN NASIONAL DUN Pilah tersebut turut menampilkan Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria, selain Cikgu Rafiei. – HARAKAHDAILY 6/8/2023
