Kenapa Sanusi berdepan ‘amukan’ Kerajaan Madani?

- Advertisement -

PENDAHULUAN 

Kerajaan Kedah Darul Aman paling teruk menerima ‘amukan’ jentera Kerajaan Madani dalam siri kempen PRN di enam negeri yang akan berlangsung pada 12 Ogos ini.

Sebenarnya usaha berterusan untuk menjatuhkan kredibiliti YAB Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor di mata rakyat, telah berjalan secara sistematik sejak PH-BN mula berkuasa di Putrajaya.

Namun dalam pilihan raya ini, agenda menyerang Sanusi diangkat menjadi strategi ‘nombor wahid’ kem PH-BN untuk merampas Kedah.

Kenapa menyerang Sanusi?

Pertama. Kerana Sanusi adalah pemimpin PAS yang telah menunjukkan pencapaian luar biasa dalam mentadbir Kedah, walaupun beliau baru saja mengambil alih pentadbiran Kedah dalam tempoh 3 tahun terakhir ini.

Kedua. Kerana Sanusi adalah Pengarah Pilihan Raya PERIKATAN NASIONAL (PN) yang telah berjaya mengekalkan momentum ‘tsunami hijau’ yang membimbangkan Kerajaan PH-BN. 

Ketiga. Kerana Sanusi sudah mula bercakap menggunakan ‘bahasa ekonomi’ dengan Kerajaan DAP di Pulau Pinang berkaitan isu bekalan air mentah daripada Sungai Muda. 

Keempat. Kerana isu yang dibangkitkan oleh Sanusi bahawa Pulau Pinang masih lagi hak milik Negeri Kedah, yang mencetuskan rasa tidak selesa yang amat sangat kepada Kerajaan DAP Pulau Pinang.

Sedikit mengenai isu bekalan air mentah 

Kerajaan Pulau Pinang pada awalnya cuba menyindir Kerajaan Kedah supaya tidak membuat aktiviti pembalakan dan pembangunan di Ulu Muda kerana ia akan memberi kesan kepada aliran Sungai Muda, sekali gus akan mencetuskan gangguan bekalan air mentah ke Pulau pinang.

80 peratus sumber air mentah Pulau Pinang diabstrak daripada Sungai Muda.

Sebagai tindak balas, Sanusi berkata Pulau Pinang sepatutnya membayar caj air mentah kepada Kedah kerana Kedah terpaksa menanggung banyak kos untuk memelihara kawasan tadahan hujan di Ulu Muda dan menyediakan pelbagai prasarana yang lain.

Tambahan lagi Pulau Pinang menggunakan 56 peratus sumber air mentah Sungai Muda, sedangkan Kedah hanya menggunakan 44 peratus.

Kata Sanusi, jika Pulau Pinang membayar caj air mentah, kepentingan mereka akan diambil kira dalam menguruskan isu bekalan air yang berasal daripada Sungai Muda. 

Namun Pulau Pinang bertegas tidak mahu membayar sesen pun caj air mentah kepada Kedah. 

Pulau Pinang mencadangkan penubuhan (LLUM)

Seterusnya Pulau Pinang mencadangkan penubuhan Lembaga Lembangan Ulu Muda (LLUM) di bawah Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) yang melibatkan Kedah, Pulau Pinang dan Perlis.

Kerajaan Kedah membantah sekeras-kerasnya cadangan tersebut.

Dan ia menyebabkan Sanusi memberikan amaran kepada Kerajaan Pulau Pinang agar tidak mencampuri urusan Negeri Kedah khususnya berkaitan kawasan tadahan air di Ulu Muda.

Cadangan itu secara langsung telah bersifat melanggar kedaulatan Negeri Kedah, yang mempunyai wilayah yang ditadbir Sultan dan kerajaan serta berpegang kepada Undang-undang Tubuh Negeri.

Mengheret MB Kedah berdepan dengan Kerajaan Pusat

Sebagaimana diketahui umum Kerajaan Pulau Pinang adalah anak emas PH. 

Apabila ego Kerajaan Pulau Pinang dan DAP Pulau Pinang kelihatan agak terjejas akibat tuntutan yang munasabah dan adil yang dikemukakan oleh Sanusi mewakili rakyat Kedah, mereka mengheret Kerajaan Pusat untuk turut sama berdepan ‘seteru utama’ mereka, Sanusi.

Kerajaan Kedah dianggap ‘seteru’

Kerajaan Madani di peringkat Pusat berusaha keras untuk menyingkirkan Sanusi daripada pelbagai program di peringkat Persekutuan, termasuk yang program yang berlangsung di Kedah.

Perkara ini didedahkan oleh Sanusi dalam siri ceramahnya mutakhir ini apabila Kerajaan Pusat kelihatan tidak berselindung lagi menjadikan Kedah sebagai ‘seteru’ mereka.

Antaranya, Sanusi sebagai Menteri Besar Kedah hanya dilibatkan pada saat akhir oleh Kerajaan Pusat dalam penganjuran program Antarabangsa LIMA yang diadakan secara dwi tahunan di Langkawi. Itu pun setelah menghadapi kesukaran kerana tidak melibatkan tuan rumah untuk menjayakan aktiviti besar seperti itu.

Agensi-agensi penguatkuasa di bawah Kerajaan Persekutuan digunakan untuk menyusahkan Sanusi dan kepimpinan Kerajaan Kedah hampir setiap hari pada musim kempen sedang berlangsung.

Sehingga semua Exco Kerajaan Negeri dipanggil memberi keterangan mengenai isu REE yang dibangkitkan oleh Menteri Dalam Negeri, merangkap SU Agong PKR Datuk Seri Saifuddin Nasution.

Serangan PMX dan Saifuddin 

YAB Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyerang Sanusi kerana membuka lembaran sejarah Pulau Pinang adalah milik Kedah. 

Kata Perdana Menteri ke-10 (PMX), beliau bimbang nanti Thailand juga akan buka lembaran sejarah dan menuntut Kedah sebagai wilayah Thailand.

Saifuddin pula setiap hari menyerang Sanusi dengan isu REE daripada pelbagai aspek dengan penuh kreativiti. 

Semuanya dijawab oleh Sanusi satu demi satu berasaskan fakta dan gaya pidatonya yang meranapkan ego setiap penyerangnya.

Serangan Saifuddin, jawapan Sanusi dan serang balas kedua-dua tokoh ini sedang ‘trending’ di Tik Tok sekarang ini. Kadang-kadang ia sangat menghiburkan…

Penutup 

Kerajaan Persekutuan sepatutnya berpegang kepada motto yang tertulis pada jata negara, ‘Bersekutu Bertambah Mutu’.

Jadikanlah Kedah sebagai sekutu, bukan seteru. Kedah pun banyak kepentingan strategiknya kepada negara.

Berpolitik secara melampau dengan menjadikan Kedah sebagai seteru seperti itu, hanya akan merugikan negara dan rakyat jelata.

Nampaknya ramai rakyat Malaysia berjiwa ‘Kedah’ dalam PRN kali ini.

USTAZ ZAKARIA ISMAIL 
Marang
5 Ogos 2023 – HARAKAHDAILY 5/8/2023

- Advertisement -
- Advertisement -