PRN: 80 peratus pengundi sudah buat keputusan

- Advertisement -

REMBAU: Ketika kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) November tahun lepas, gelombang kebangkitan rakyat hanya kelihatan menjelang hari pengundian.

Namun, keadaan sekarang jauh berbeza apabila berlaku lebih awal sehingga merebak ke seluruh negara ekoran kegagalan kerajaan campuran.

- Advertisement -

Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, gelombang kebangkitan rakyat kali ini jauh lebih besar berbanding sebelum ini.

“Kalau tuan-tuan perhati gelombang kebangkitan rakyat (pada PRU15) tidak nampak sangat. Ia hanya kelihatan pada minggu-minggu akhir dekat dengan hari mengundi.

“Jauh berbeza sekarang, gelombang berlaku lebih awal sebelum penamaan calon. Dah kempen sebulan dah,” katanya di majlis pengenalan calon PERIKATAN NASIONAL (PN) di DUN Rantau, Rozmal Malakan di Padang Taman Sendayan Indah, Rantau malam tadi.

Hadir sama Pesuruhjaya PAS Melaka Tuan Guru Zulkifli Ismail; Timbalan Pesuruhjaya PAS Melaka, Bakri Jamaluddin; Ketua Bersatu Rembau, Nazree Yunus dan Ketua Penerangan Dewan Muslimat PAS Negeri Sembilan, Janira Ain Abu Bakar.

Tuan Ibrahim berkata, rakyat dilihat tidak sabar untuk membuang undi pada 12 Ogos ini bagi menumbangkan kerajaan PH-BN.

Menurutnya, situasi itu bukan sahaja berlaku di Negeri Sembilan, malah di mana-mana tempat rakyat tidak sabar menunggu hari mengundi.

Penduduk Taman Sendayan Indah kusyuk mendengar ucapan Timbalan Presiden PAS

“Malah penilaian yang dibuat pemerhati politik hampir 80 peratus rakyat sudah tahu apa yang hendak mereka pilih. Cuma 20 peratus lagi pengundi masih atas pagar,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata, PH-BN begitu bimbang gelombang rakyat turut menular ke DUN Rantau yang diwakili Timbalan Presiden Umno, Dato’ Seri Mohamad Hasan.

Sementara itu calon PN DUN Rantau, Rozmal Malakan, 58, merupakan anak jati Rembau yang berpengalaman luas dalam bidang pengurusan korporat.

Jawatan terakhirnya sebagai Pengurus Kualiti di sebuah syarikat Jerman yang beroperasi di Senawang.

Beliau juga aktif dalam kerja kebajikan dan kemasyarakatan, turut diamanahkan sebagai Pengerusi Pertubuhan Waris Negeri Sembilan serta mantan Pengerusi Yayasan Amal Malaysia Cawangan Negeri Sembilan.

Rozmal juga Timbalan Yang Dipertua PAS Rembau, Ketua Cawangan Rumah Rakyat Sungai Layang dan mantan Ketua Penerangan PAS Kawasan Rembau. – HARAKAHDAILY 31/7/2023