Peguam, dua bekas profesor teguhkan PN Kedah

Mardhiyyah Johari (kiri, atas), Mohd Suffian Yusoff (kiri, bawah) dan Haim Hilman Abdullah.
- Advertisement -

ALOR SETAR: PERIKATAN NASIONAL (PN) Kedah khususnya PAS menampilkan muka baharu dalam kalangan profesional sebagai calon Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.

Antaranya calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kundur, Mardhiyyah Johari, 35, yang memiliki Ijazah Sarjana Undang-Undang, Universiti Islam Antarabangsa (UIAM); yang mana beliau kini bertugas sebagai peguam (sivil dan syarie) sejak 2014.

- Advertisement -

Katanya, beliau tiada masalah bertukar profesion daripada peguam kepada ahli politik kerana sebelum ini terlibat secara langsung bagi membantu menyelesaikan masalah rakyat.

“Pengalaman itu akan saya bawa ke dunia politik dan semoga saya dapat bantu rakyat dengan lebih luas,” katanya yang juga Timbalan Ketua Pengarah Ameerah Malaysia. 

Tekad beliau  sekiranya menang dan PN berjaya menerajui kerajaan negeri sekali kali, beliau akan lebih memberi tumpuan membantu merealisasikan ‘The Greater Kedah’.

Beliau juga berazam menangani masalah penduduk memandang DUN yang ditandingi merupakan kawasan kampung. 

Mardhiyyah bakal berentap dengan penyandang PRU14, Dato’ Dr Ismail Salleh daripada Amanah. 

Sementara bekas Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dr Haim Hilman Abdullah, 50, menganggap keputusannya menyertai politik merupakan titik permulaan setelah berbakti selama 23 sebagai pendidik. 

Calon PN, Jitra itu akan memberi penumpuan menyumbang bakti dan tenaga dalam arena politik dan membantu Menteri Besar membangunkan negeri Kedah.

“Insya-Allah, kita akan membawa hala tuju yang baharu untuk Kedah malah harapan baharu kepada rakyat untuk melihat negeri ini lebih berjaya.

“Gelombang PN yang sudah bermula sejak Pilihan Raya Umum (PRU15) memberikan petunjuk yang cukup baik,” jelasnya. 

Malah rakyat, ujarnya, dilihat sudah bosan dengan pendekatan politik Pakatan Harapan (PH) yang tidak membawa pendekatan sejahtera dan keharmonian.

“Politik adalah seni dan dalam masa yang sama, kita perlu menjunjung nilai dan adab agar dapat membawa satu politik contoh kepada rakyat Malaysia,” tambah beliau. 

Difahamkan Dr Haim telah menamatkan perkhidmatannya di Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan (SBM) UUM, 23 Julai lalu. 

Sementara, mantan Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam, Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Ts Dr Mohd Suffian Yusoff pula merupakan calon hebat PN yang dijangka mampu merampas kerusi DUN Bandar Baru.

“Saya bersara pilihan, sepatutnya saya ada lagi enam tahun tetapi saya mengambil keputusan untuk beralih sepenuhnya di arena politik,” katanya. – HARAKAHDAILY 28/7/2023

- Advertisement -