Lebih 50,000 hadir majlis isytihar calon PN Kedah

Rakyat beri isyarat untuk PN jadi kerajaan

- Advertisement -

KUALA KEDAH: PERIKATAN NASIONAL (PN) sedang diberikan isyarat cukup jelas oleh rakyat negeri ini untuk terus dipilih pada PRN 12 Ogos nanti seterusnya kekal menerajui pentadbiran Kerajaan Negeri Kedah.

Gelombang sokongan itu dapat disaksikan dari kebanjiran hebat lebih 50,000 hadirin pada Majlis Pengisytiharan Calon DUN Ke-15 PN Kedah yang dilangsungkan di Kompleks PAS Kedah, di sini malam tadi.

Pesuruhjaya PAS Kedah, Dato’ Ustaz Ahmad Yahaya juga menyifatkan kehadiran pada himpunan tersebut adalah paling ramai dalam sejarah majlis seumpama yang pernah diadakan pada PRU-PRU lalu.

“Tahun 2004, itulah tahun yang pertama pengisytiharan calon diadakan di Kompleks PAS Negeri Kedah ini bagi menghadapi PRU11. Kemudian diikuti pada tahun 2008, diikuti pada tahun 2013, diikuti pada tahun 2018, diikuti pada tahun 2022 tahun lalu.

“Dan malam ini sekali lagi tahun 2023, saya nak sebut daripada semua majlis pengisytiharan calon itu, malam inilah kehadiran yang paling ramai alhamdulillah. Rupanya tapak kompleks (seluas) 11 relung ini sudah jadi sempit dengan kehadiran yang begini hebat,” ujarnya.

Bagi beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena, kehadiran tersebut memberi isyarat kesungguhan dan tekad rakyat terhadap kemahuan untuk memastikan PN terus menjadi kerajaan di negeri Kedah.

Katanya, serangan bertubi-tubi kepada negeri dan juga kepungan dari berbagai sudut terhadap batang tubuh Menteri Besar dilihat menyebabkan sokongan rakyat kepada PN juga semakin bertambah.

“Bila kita melihat sokongan yang begini hebat, ini semua memberi isyarat bahawa kesungguhan dan tekad yang ada kepada rakyat negeri Kedah, yang ada kepada penyokong PN untuk kerja kuat menghadapi apa jua bentuk serangan yang di negeri Kedah.

“Kalau kita perhati pada serangan-serangan siang dan malam bukan sekadar datang melalui media-media sosial, tapi datang melalui menteri-menteri datang melalui melalui kerajaan MadaNon ada saja bentuk serangan.

“Tetapi alhamdulillah sampai ke hari ni, setiap serangan yang datang ke negeri Kedah dan setiap serangan kepada batang tubuh YAB Menteri Besar, semua tuan-puan menjadi benteng pertahanan untuk mempertahankan serangan tersebut.

“Sudah tentu kami menghargai, ucapkan ucapan terima kasih di atas sokongan padu yang diberikan,” ujar beliau. – HARAKAHDAILY 27/7/2023

- Advertisement -
- Advertisement -