‘Isu komplot saya tidak maksudkan pihak polis’

- Advertisement -

ALOR SETAR: Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor menegaskan komplot untuk menjatuhkannya yang dirancang enam bulan lalu tiada kaitan dengan pihak polis.

- Advertisement -

“Isu komplot itu saya tidak maksudkan pihak polis. Saya tidak mahu bergaduh dengan kakitangan awam. Kakitangan federal dan negeri adalah rakan saya.

“Mereka bekerja atas bidang kuasa masing-masing, tetapi jangan buat kerja mengikut arahan pemimpin politik, bahaya untuk negara dan masa depan,” kata beliau ketika ditemui sebaik sahaja selesai majlis penyerahan zakat perniagaan Kumpulan Perbadanan Negeri Kedah, di Wisma Darul Aman, hari ini. (Foto atas)

Jelasnya, boleh dikatakan setiap hari beliau diambil keterangan dan tumpuan kepadanya dilihat berlebihan sehingga mengundang simpati rakyat terhadapnya.

“Hari ini beberapa Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri pula dipanggil Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM). Esok pun ada lagi.

“Saya pun hairan. Sebelum ini belum pernah lagi Exco dipanggil SPRM untuk keterangan berkenaan minit mesyuarat Exco,” tambah beliau.

Perancangan untuk menjatuhkannya katanya telah dibuat sejak tahun lalu bermula dengan stor di kediamannya (Seri Mentaloon) dibom.

Kemudian disusuli dengan menghalang beliau menghadiri majlis-majlis atau mesyuarat kerajaan persekutuan, namun percubaan itu gagal.

“Mereka halang saya hadir mesyuarat atau majlis-majlis anjuran kerajaan persekutuan termasuk LIMA di Langkawi. Tetapi saya usaha sungguh-sungguh dan akhirnya perancangan mereka gagal,” ujar beliau.

Sementara itu, dalam masa yang sama, Sanusi mengingatkan kepada mana-mana ahli politik sila beri keterangan kepada pihak berkuasa yang menyiasat bukannya kepada media.

“Polis dan SPRM telah melakukan siasatan. Kenapa mereka dok tanya lagi. Siapa yang menyiasat? Ahli politik atau agensi? Nak beri keterangan sila ke agensi terbabit, bukan kepada media,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 26/7/2023

- Advertisement -