Rakyat tempelak TPM ajak rakyat Kelantan buat perubahan

Kerajaan Kelantan gigih membangun negeri.
- Advertisement -

KOTA BHARU: Kenyataan Timbalan Perdana Menteri (TPM), Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mengajak rakyat Kelantan membuat perubahan bagi memastikan nasib mereka lebih terbela ditempelak orang ramai.

- Advertisement -

Kata mereka Kelantan tidak perlu perubahan seperti negeri ditadbir BN dan PH kerana tidak berpandu kepada acuan agama.

Mereka menegaskan pembangunan di Kelantan dilaksanakan mengikut kehendak agama antaranya mengharamkan premis judi dan mengawal hiburan melampau.

Seorang penduduk Salsabila Mat Nor, 29, berkata, Kelantan sebenarnya sudah lengkap dengan pelbagai kemudahan asas dan tidak ketinggal berbanding negeri-negeri lain.

Katanya tiada makna pembangunan yang pesat, sedangkan kehidupan rakyat tertekan dengan kos tinggi sehingga ramai terpaksa bekerja tanpa mengira masa.

“Kelantan sudah lama ditadbir PAS, namun kebajikan rakyat tetap dibela. Ada pelbagai bantuan diterima rakyat miskin termasuk bantuan beras percuma setiap bulan.

“Bagi saya, Kelantan banyak berubah di bawah pentadbiran PAS sejak 1990. Banyak bangunan baru muncul termasuk pusat membeli belah bertaraf antarabangsa.

“Sepatutnya parti yang mentadbir kerajaan Pusat perlu memberi kerjasama bagi membangunkan Kelantan,” katanya ketika ditemui di sini.

Ahad lepas ketika menghadiri program di Gua Musang, Ahmad Zahid dilapor mengajak rakyat Kelantan memberi peluang kepada PH-BN bagi memastikan nasib mereka lebih terbela.

Seorang lagi penduduk Nur Hafizah Zaidi, 33 berkata, pembangunan yang berlaku di Kelantan sekarang selari dengan gaya hidup rakyat.

Menurutnya juga kerajaan Kelantan sebelum ini terpaksa berusaha sendiri termasuk menjalin kerjasama dengan syarikat swasta bagi membangunkan negeri tersebut. 

“Kelantan sebelum ini terpaksa berusaha sendiri selepas dipinggirkan kerajaan pusat dalam tempoh begitu lama.

“Namun kerana kegigihan pemimpin negeri Serambi Mekah, sekarang sudah jauh membangun sehingga banyak muncul bandar bandar baharu,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 26/7/2023

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

- Advertisement -