PAS Kedah jamin tiada konsert LGBT

Dato' Ahmad Yahaya
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: PAS Kedah memandang serius penularan aksi tidak senonoh sebuah kumpulan penyanyi luar negara sebagai sesuatu yang mencemarkan imej Malaysia yang meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan.

- Advertisement -

Pesuruhjayanya, Dato’ Ahmad Yahaya berkata, sewajarnya sejak daripada awal lagi golongan berkenaan tidak dibenarkan masuk ke dalam negara walaupun atas nama apa jua acara sekalipun.

“Sikap berlembut tanpa sempadan menyebabkan akhirnya negara kita dihina oleh bangsa asing,” ujarnya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, mereka bukan sahaja gagal menghormati pendirian menolak LGBT negara dengan aksi bercumbu sesama jenis di atas pentas bahkan mengeluarkan kenyataan yang merendah-rendahkan prinsip anti-LGBTQ yang diamalkan di negara ini.

Malangnya, ujar beliau penghinaan besar itu berlaku di dalam negara ini sendiri.

“Apakah kita tidak mempunyai maruah untuk dipertahankan?” katanya yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena.

Tegasnya, PAS Kedah meletakkan suatu jaminan dengan tegas bahawa tidak akan ada sebarang konsert daripada artis pro-LGBT mahupun sebarang bentuk usaha ke arah menormalisasi ideologi berkenaan di negeri itu.

“Ini adalah prinsip amar makruf nahi munkar yang wajar dipikul bersama oleh seluruh rakyat Kedah insya-Allah,” ujarnya lagi.

Seharusnya, kata beliau semua pihak bertegas dengan gelombang normalisasi LGBT yang masuk dengan pelbagai pintu kerosakan.

Belaiua berkata, keamanan, kemakmuran dan kesejahteraan negeri Kedah harus dipelihara daripada tercemar dengan budaya songsang yang merosakkan. – HARAKAHDAILY 23/7/2023

- Advertisement -