Komplot tangkap Sanusi dirancang sejak enam bulan lalu

- Advertisement -

BALING: Menteri Besar, Dato’ Muhammad Sanusi Md Nor mendedahkan bahawa komplot untuk menangkap beliau telah dirancang oleh pihak-pihak tertentu sejak enam bulan lalu.

Menurutnya, beliau menerima makluman tersebut daripada sumber perisikan dari di seluruh Malaysia yang merupakan rakan-rakannya memberitahu tindakan akan dibuat ke atas dirinya.

Hinggakan katanya, dia sentiasa berjaga-jaga 24 jam di mana di dalam kenderaannya juga tersedia dua bekas peluru yang mengandungi 14 butir setiap satu bagi keselamatan diri dari kejahatan pihak tertentu.

“Enam bulan dah depa (mereka) nak royak (bagi tahu) tu. Yang penting tangkap gari, jatuhkan moral, hilang kredibiliti. Lepas tu dia (saya) ceramah apa orang tak pakai dah. Pasal dia telah dimalukan dengan tangkapan.

“(Tetapi) Saya jalan macam biasa tak ada masalah apa sampailah dibubarkan DUN Kedah ni. Kita pun jadi caretaker government mereka masih Kerajaan Pusat nampak mereka makin hari makin galak makin ganas.

“Saya menghadap Tuanku (Sultan) saya maklumkan, ada usaha-usaha ni nak buat kat patik. Tuanku kata kalau tahu awal, mai habaq kat saya (baginda). Duk tiga hari dia (mereka) membuat sungguh. Pukul 3 pagi nak habaq kat siapa?” ceritanya.

Sanusi turut mengulangi penafian terhadap tuduhan kononnya beliau menolak panggilan telefon dari pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM) kerana beliau berkomunikasi dengan Pegawai Kanan PDRM Bukit Aman.

Jelasnya, beliau ketika sedang mesyuarat sememangnya tidak akan menjawab panggilan, tetapi akan memberi reaksi menerusi aplikasi WhatsApp di mana komunikasi berhubung perkara tersebut berlaku.

“Saya duk communicate dengan polis itu. Oleh kerana nak menghalalkan pasal orang marah tangkap 3 pagi, depa kata saya menolak panggilan. Dak, saya tak tolak. Saya jawab WhatsApp, jawab saya tengah mesyuarat.

“Dia kata nak ambil keterangan lagi, nak sambung keterangan. Saya kata sambung apa lagi, hari tu bagi dah. Dia kata nak sambung lagi suruh mari Balai Polis Hartamas. Saya kata hang ni sahih nak tangkap, habaq betul-betul nak tangkapkah?

“Dia tak mengaku. Saya communicate dengan polis itu daripada (malam) pukul 11 lebih kurang pukul sebelas sampai pukul 2 pagi saya tak lari. Saya tak menolak panggilan. WhatsApp itu macam panggilanlah juga.

“Saya khabar saya duk mana, duk buat apa. Saya tanya pasaipa nak kena gi, dia kata nak sambung keterangan, sambung keterangan. Apa pukul 2 pagi? Saya kata saya akan pergi ke mahkamah besok jam 9 pagi. Kita jumpa di sana.

“Saya Menteri Besar Kedah cik hoi nak lari gi mana ha? Aku ada negeri nak jaga, saya akan hadir mahkamah esok jam 9 (pagi). Tuan tunggu situ kita jumpa sana lepas pertuduhan kita jumpa sanalah keterangan.

“Nak sambung berapa hari pun saya sedia bagi keterangan. Jangan tangkap saya malam ni,” ujarnya mengulang cerita yang sedang mendapat perhatian seluruh negara itu.

Pun demikian, atas tangkapan yang dilakukan terhadapnya, Sanusi sama sekali menegaskan bahawa beliau tidak menyalahkan pihak PDRM sebaliknya menghormati tugas dilakukan mereka.

Kerana katanya, pelaksanaan tugas tersebut adalah kerana menerima arahan daripada Menteri dan beliau sendiri telah memberi kerjasama penuh ketika kejadian tersebut.

“Saya tidur pakai kain pelekat, baju apa tak pakai, mandi pun dak. Masa tu dah nak kena tangkap. Saya duk ingat sahih tangkap malam ni. Saya letak badan atas tilam, tarik selimut, niat saja aku nak tidur lama mana pun tak apa.

“(Tiba-tiba) katuk mata pintu. Ah mari dah tak dan lelap jugalah. Gi tengok di pintu penuh dema (mereka) ada 20 orang kut tepi dinding itu berselirik serupa (bersusun seramai) boleh! Ramai saya kata masuk tuan, masuk, masuk, masuk, masuk.

“Dia kata tak mahu masuk pakai kasut. Eh tak apa tak apa pakai kasut tak apa. Ini bukan hotel saya saya pun sewa ja. Mai, mai, mai, mai, mai. Saya pun suruh dia membancuh air Nescafe apa-apa semua. Adalah lagi.

“Sambil-sambil minum air tu minum ayaq dulu tuan-tuan, minum, minum, minum, minum, masuk, masuk, duduk, duduk. Dema tak berani. Saya kata jangan takut kat saya. Saya bukan pengganas. Saya pakai kain yang spenda (seluar dalam) tak pakai.

“Ha duduk, duduk! Saya tak buat apa. Kita minum kopi dulu. Lepas itu saya katalah kat pegawai itu, siapa duk WhatsApp saya tadi? Dia kata saya. Adalah nama. Pasaipa hang tak khabar tak nak tangkap aku? Saya serba salah Dato’ Seri.

“Aku duk agak dah. Khabar ajelah. Tapi hang tak khabar apa aku tahu dah. Lepas itu saya nak minta izin nak mandi sat ambil berus gigi,” perincinya kepada kejadian malam tersebut.

Beliau memberitahu dilayan pihak PDRM di Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak itu dengan baik dan meminta mereka tidak menggarinya ketika dibawa ke Mahkamah Sesyen Selayang esoknya.

“Kalau saya kena gari itu menjatuhkan maruah saya, tujuan saya ditangkap tuan diarah menangkap saya ni ialah untuk menjatuhkan kredibiliti saja nak tarik saya jatuh ke tanah itu tujuan dia bukan ada pasal apa.

“Dia kata insya-Allah tak gari pegang sahaja jangan ada wartawan, jangan lalu depan wartawan. Tapi polis ni. Dia kata kami set siap dah dia kata. Ha depa set siap dah. Tak dak siapa tahu mana saya masuk.

“Tengok-tengok duk dalam mahkamah dah. Tak dak siapa boleh ambil gambar. Saya ucap terima kasih kepada rakan-rakan daripada PDRM,” hargainya. – HARAKAHDAILY 23/7/2023

- Advertisement -
- Advertisement -