Tangkap MB 3 pagi melampau dari kesalahan didakwa

Dato' Seri Hamzah Zainudin
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: PERIKATAN NASIONAL (PN) mengikuti dengan teliti kes pendakwaan Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor di bawah Akta Hasutan.

- Advertisement -

“PERIKATAN NASIONAL menegaskan bahawa adalah menjadi dasar utama parti untuk sentiasa menjunjung, memelihara dan mempertahankan kemuliaan Institusi Raja-Raja Melayu sebagai Raja Berperlembagaan.

“Dasar ini akan terus dipertahankan,” ujar Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Hamzah Zainudin dalam kenyataan, malam tadi.

Namun begitu, katanya tindakan kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim menggunakan pihak polis bagi menyerbu dan menangkap Muhammad Sanusi pada pukul 3 pagi merupakan perbuatan berlebih-lebihan dan penganiayaan yang sengaja dibuat hanya kerana dendam politik.

Sehubungan itu, beliau mempersoalkan apa perlunya Menteri Besar Kedah dilayan sebegitu rupa.

“Sedangkan beliau telah pun memohon maaf dalam isu ini dan beliau juga telah menyatakan kesediaan memberi kerjasama sepenuhnya kepada polis dengan notis untuk hadir ke mahkamah juga telah diserah terima,” ujarnya lagi.

Menurutnya, pertuduhan terhadap Muhammad Sanusi adalah untuk kesalahan di bawah seksyen 4(1)(a) Akta Hasutan 1948 yang membawa hukuman denda maksimum hanya RM5,000.

Malah, tambahnya pasukan pendakwaan yang diketuai Peguamcara Negara sendiri menawarkan jaminan hanya RM5,000.

Jadi, kata beliau yang juga adalah amat jelas cara penangkapan tersebut melampau dari kesalahan yang didakwa.

“Pada masa yang sama, saya menentang keras siri pendakwaan terpilih dan perbuatan menyalahgunakan Akta Hasutan bagi tujuan penganiayaan politik,” katanya yang juga Ahli Parlimen Larut.

Ini, ujar beliau memandangkan ada pemimpin bukan PERIKATAN NASIONAL yang terbabit mengeluarkan kenyataan menghasut tidak pula dikenakan tindakan undang-undang.

“Kepada semua pihak khususnya penyokong PERIKATAN NASIONAL kekal bertenang serta jaga ketertiban awam dan marilah kita sama-sama berdoa agar Menteri Besar Kedah mendapat keadilan di mahkamah,” ujarnya yang juga Setiausaha Agung PN. – HARAKAHDAILY 19/7/2023

- Advertisement -